Selasa, 27 Ogos 2019 | 7:07pm
MOF tidak pernah menerima permohonan atau memberi kelulusan pengecualian duti/cukai ke atas perolehan kenderaan Toyota Camry jenis import sepenuhnya (CBU) daripada kerajaan negeri Perak.
MOF tidak pernah menerima permohonan atau memberi kelulusan pengecualian duti/cukai ke atas perolehan kenderaan Toyota Camry jenis import sepenuhnya (CBU) daripada kerajaan negeri Perak.

Pengecualian duti/cukai kenderaan CBU tidak diluluskan - MOF

PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan (MOF) tidak pernah menerima permohonan atau memberi kelulusan pengecualian duti/cukai ke atas perolehan kenderaan Toyota Camry jenis import sepenuhnya (CBU) daripada kerajaan negeri Perak.

Dalam kenyataan hari ini, MOF berkata, dakwaan kerajaan negeri Perak mendapat pengecualian duti/cukai manakala kerajaan negeri Pulau Pinang tidak diberikan kelulusan itu adalah tidak benar.

Menurut MOF, pihaknya menerima permohonan kerajaan negeri Pulau Pinang pada 4 Mac lalu untuk pengecualian duti/cukai atas perolehan Toyota Camry import tetapi tidak dipertimbangkan selaras dasar semasa yang berkuat kuasa.

Permohonan kerajaan negeri Selangor juga diterima pada 28 November 2018 dan keputusan sama dibuat yang mana pengecualian duti/cukai tidak dipertimbangkan, katanya.

Kementerian itu menjelaskan, perolehan Toyota Camry jenis kenderaan pemasangan tempatan (CKD) oleh kerajaan negeri Pulau Pinang pada 2013 mendapat pengecualian duti/cukai.

“Ia selaras dengan dasar kerajaan yang menetapkan perolehan kereta saloon/kereta jenis CKD sahaja oleh Jabatan Kerajaan Persekutuan dan negeri layak menikmati pengecualian duti/cukai menerusi Butiran 7 dan 8 Perintah Duti Eksais (Pengecualian) 2017; dan Butiran 3, 4 dan 5 Perintah Cukai Jualan (Orang Yang Dikecualikan Daripada Pembayaran Cukai) 2018.

“Memandangkan model itu tidak lagi dipasang dalam negara, perolehan Toyota Camry import oleh kerajaan negeri Pulau Pinang tahun ini tidak layak menikmati pengecualian duti/cukai melalui perintah itu,” kata MOF. - BERNAMA

Berita Harian X