Selasa, 27 Ogos 2019 | 4:15pm
MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke menyaksikan demonstrasi pada Program Sokongan Keselamatan Perjalanan (CSSP) di Wisma Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Seremban, hari ini. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Kementerian cadang adakan program keselamatan terhadap teksi motosikal

SEREMBAN: Kementerian Pengangkutan akan melihat keperluan mengadakan Program Sokongan Keselamatan Perjalanan (CSSP) terhadap teksi motosikal dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

CSSP adalah program kerjasama antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bagi meningkatkan pengetahuan, kesedaran dan kemahiran isu keselamatan jalan raya terutama keselamatan golongan pekerja yang menunggang motosikal pergi dan balik kerja.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pihaknya sudah melihat perkara itu dari aspek keselamatan selepas Kabinet membuat keputusan meluluskan perkhidmatan teksi motosikal.

Katanya, walaupun ada pihak yang menyatakan kebimbangan tetapi beliau melihat dari sudut bahawa itu adalah satu peluang untuk membuat kerangka keselamatan yang dapat mengubah cara mereka menunggang motosikal.

“Kerangka keselamatan ini bukan saja untuk teksi motosikal tetapi juga penghantar makanan, dokumen dan sebagainya. Apabila kerajaan membuat keputusan untuk membenarkan teksi motosikal kita ambil peluang untuk merangka peraturan baharu.

“Kita tidak pernah ada peraturan untuk mengawal penunggang motosikal walaupun perkhidmatan itu seperti penghantar pizza bermotosikal sudah ada sejak 20 tahun yang lalu.

“Kita benarkan (luluskan teksi motosikal) bukan bermaksud kita benarkan mereka membawa motosikal tanpa apa-apa peraturan. Kami mahu mengambil pendekatan seperti yang dibuat perkhidmatan e-hailing sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Sokongan Keselamatan Perjalanan (CSSP) di Wisma Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Ketua MIROS, Dr Siti Zaharah Ishak.

Justeru, Loke berkata, penunggang teksi motosikal dan mereka yang menggunakan motosikal untuk bekerja amat perlu didedahkan dengan CSSP yang diperkenal sejak tahun 2017.

“Disebabkan itu juga kita perlu meneliti kerangka keselamatan sedia ada kerana isu keselamatan tidak boleh dipandang remeh.

“Saya percaya program ini dapat membantu meningkatkan keselamatan penunggang sekali gus mengurangkan kadar kemalangan jalan raya membabitkan motosikal,” katanya.

Sementara itu, Dr Siti Zaharah berkata, program itu terbukti berkesan mengurangkan kadar kemalangan membabitkan penunggang motosikal apabila peratusan kemalangan menurun sebanyak 70 peratus terhadap syarikat yang mengikuti program itu.

Ketika dimulakan pada tahun 2017, hanya seramai 20 majikan di sekitar Lembah Klang yang menyertai program itu namun jumlah itu meningkat kepada 95 majikan pada tahun lalu, manakala sasaran jumlah majikan menyertai program itu pada tahun ini pula sebanyak 70.

Berita Harian X