Selasa, 27 Ogos 2019 | 3:15pm

GoJek: Kerajaan tidak ambil keputusan terburu-buru - Mohd Redzuan

PETALING JAYA: Kerajaan tidak mengambil keputusan terburu-buru berhubung cadangan memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal atau GoJek di negara ini.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, berkata inisiatif digerakkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu baru pada peringkat cadangan untuk diperhalusi dari semua sudut, termasuk undang-undang.

Malah setakat ini, beliau berkata, belum ada kertas Jemaah Menteri yang membenarkan pelaksanaan GoJek di Malaysia.

“Itu (cadangan pelaksanaan) adalah perkara dibangkitkan (dalam mesyuarat Kabinet) sama ada kita boleh mewujudkan GoJek. Secara prinsip, konsensus Kabinet tidak menghalang dengan syarat tertentu.

“Sebagai contoh, kita tidak boleh meletak GoJek di lebuh raya PLUS, justeru ia perlu diperhalusi secara prinsip.

“Kita tidak akan melaksanakannya secara mudah, perlu ada undang-undang dan peraturan. Begitu juga kawasan mana sesuai dan sama ada ia digunakan untuk menghantar makanan atau membawa penumpang. Itu semua perlu diteliti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan di syarikat Datasonic Technologies Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Ditanya rungutan pelbagai pihak meliputi pemandu teksi terhadap cadangan pelaksanaan GoJek, Mohd Redzuan berkata, keputusan dibuat kelak akan mengambil kira pandangan secara keseluruhan.

Berhubung isu teksi pula, beliau berkata, tumpuan diberikan kepada pembangunan perkhidmatan itu supaya menepati kehendak pengguna, termasuk dari aspek keselesaan.

“Jika sebut mengenai e-hailing, memang banyak (pemandu) teksi yang merintih. Perkara ini akan dilihat dan kita boleh membantu persatuan teksi untuk bersaing dengan perkhidmatan e-hailing.

“Saya rasa ada kaedah sedang dikaji supaya kita memberi peluang sama kepada pemandu teksi. Mereka perlu diberi perhatian, termasuk peningkatan dari segi perkhidmatan dan penampilan,” katanya.

Sementara itu mengulas laporan media bahawa Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Prof Philip Alston, menyifatkan kereta terbang sebagai tidak praktikal di Malaysia, Mohd Redzuan berkata, ia hanya pandangan pihak berkenaan.

Katanya, inisiatif kereta terbang dilakukan pihak swasta dan kerajaan hanya melihat persekitaran industri itu yang memiliki potensi perniagaan luas di negara ini.

Mengenai program lawatan hari ini pula, beliau berkata, kerajaan sentiasa menggalakkan syarikat swasta melatih pekerja supaya memiliki kemahiran mencukupi.

MENTERI Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof (kiri) mengadakan lawatan di syarikat Datasonic Technologies Sdn Bhd, di Petaling Jaya, hari ini. - Foto Owee Ah Chun
MENTERI Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof (kiri) mengadakan lawatan di syarikat Datasonic Technologies Sdn Bhd, di Petaling Jaya, hari ini. - Foto Owee Ah Chun

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X