Isnin, 26 Ogos 2019 | 9:47pm

PM tiba di Hanoi untuk lawatan 3 hari

HANOI: Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di sini sebentar tadi bagi memulakan lawatan rasmi tiga hari ke Vietnam.

Ketibaan Perdana Menteri di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai pada jam 8.20 malam (9.20 malam waktu Malaysia), disambut oleh Menteri dan Ketua Kerajaan Vietnam, Mai Tien Dung.

Lawatan Dr Mahathir ini atas jemputan Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc dan ia lawatan rasmi pertama beliau ke negara sosialis itu sejak memegang jawatan Perdana Menteri buat kali kedua.

Kali terakhir beliau mengadakan lawatan ke Vietnam sebagai Perdana Menteri ialah ketika Sidang Kemuncak ASEAN pada 1998.

Sepanjang lawatan, Dr Mahathir mempunyai jadual pada, bermula esok dengan sambutan rasmi di Istana Presiden sebelum menyertai beberapa sesi mesyuarat membabitkan kerajaan dan pelabur.

Dengan kepadatan lebih 90 juta penduduk, Vietnam adalah antara rakan dagang penting Malaysia.

Ketika ini, terdapat 27 syarikat Malaysia melabur dan beroperasi di Vietnam khususnya dalam sektor perbankan dan petroleum.

Dr Mahathir disambut oleh pegawai kanan dari Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar ketika tiba di Hanoi Vietnam bagi mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari. - Foto BERNAMA
Berita Harian X