Ahad, 25 Ogos 2019 | 3:27pm
Guan Eng pada sidang media selepas menghadiri Karnival Merdeka dan Komuniti Bagan sempena Bulan Kebangsaan di Sekolah Kebangsaan Sungai Puyu di Butterworth, hari ini. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal

DAP umum pendirian rasmi kedudukan Choo Kiong - Guan Eng

BUTTERWORTH: DAP akan mengeluarkan kenyataan rasmi kedudukan EXCO Perak, Paul Yong Choo Kiong, dari parti itu yang kini berdepan pertuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia, dalam masa terdekat.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata pandangan pemimpin pusat parti itu berhubung kes Choo Kiong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh juga sudah disampaikan kepada DAP Perak.

“Pemimpin kebangsaan DAP sudah sampaikan pandangan kepada pemimpin Perak, saya percaya satu kenyataan akan dikeluarkan tidak lama lagi, jadi kita tunggu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Karnival Merdeka dan Komuniti Bagan sempena Bulan Kebangsaan di Sekolah Kebangsaan Sungai Puyu di sini, hari ini.

Kelmarin, Choo Kiong yang memegang portfolio Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan merogol wanita warga Indonesia yang juga pembantu rumahnya, Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Susulan pertuduhan itu, pelbagai pihak termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menasihatkan beliau supaya bercuti daripada tugas rasmi sebagai EXCO kerajaan negeri.

Hari ini, Bendahari DAP Perak itu mengumumkan bercuti daripada tugasan rasminya bagi jawatan itu bagi memberi tumpuan kepada perbicaraan tuduhan kes rogol dihadapinya, namun akan meneruskan perkhidmatannya sebagai ADUN.

Berita Harian X