Ahad, 25 Ogos 2019 | 2:35pm

Masyarakat perlu bertanggungjawab guna media sosial - Dr Wan Azizah

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata masyarakat perlu bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial supaya tidak menjejaskan keharmonian negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata, jika mendapat sebarang maklumat dan berita berkaitan isu keharmonian di media sosial sebaiknya buat penilaian sebelum terus menyebarkannya.

Katanya, beliau bimbang tindakan menyebarkan berita yang tidak sahih terutama berkaitan isu perkauman akan menggugat keamanan dan keharmonian.

“Pengaruh media sosial tidak dapat dinafikan. Oleh itu, gunakan sebaiknya dan

lebih matang dalam membuat penilaian apabila berhadapan dengan ancaman yang mampu memecah-belahkan perpaduan.

“Rakyat juga harus menolak fahaman sempit daripada suara sumbang yang mahu menggugat ketenteraman dengan menimbulkan isu perkauman,” katanya berucap merasmikan Program Festival Merdeka #perpaduandihati di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy.

Dr Wan Azizah berkata, rakyat perlu menghayati konteks sebenar Rukun Negara, seterusnya mendokong Perlembagaan Persekutuan bagi mengelak perbalahan antara kaum yang boleh menggugat perpaduan nasional.

Katanya, dalam mengejar kemajuan, penekanan soal perpaduan dan kesejahteraan sosial akan terus menjadi agenda utama serta perhatian kerajaan dan akan terus diberikan penekanan yang serius.

“Semua pihak perlu memainkan peranan, termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO).

“Nilai-nilai murni seperti setia kawan, bersatu dan tidak mempunyai prasangka atau prejudis hendaklah menjadi sesuatu yang sinonim dengan rakyat Malaysia,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri juga berkata, kesejahteraan negara tidak akan tercapai sepenuhnya jika aspek kesatuan masyarakat tidak dapat dijaga dan dimantapkan dengan baik.

Katanya, usaha untuk memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat ini boleh dilakukan dengan pelbagai cara antaranya, saling hormat-menghormati antara satu sama lain, menghayati keunikan yang ada di Malaysia, dan bersikap toleransi di kalangan rakyat yang berbilang kaum dan agama.

“Kepelbagaian daripada aspek budaya, sosial, agama dan adat resam adalah hikmah terbesar kepada Malaysia.

“Pada masa yang sama kita perlu akur bahawa isu kepelbagaian agama dan kaum perlu diurus dengan baik agar maruah negara terpelihara dan tidak disalah tafsir oleh pihak tertentu,” katanya.

Beliau berkata, memang ada dalam kalangan rakyat yang agak ekstremis, namun rakyat dinasihatkan jangan cepat terpengaruh dengan kumpulan sedemikian.

“Seperti saya katakan tadi, bertindak matang dan buat pertimbangan sebelum memberi maklum balas terhadap kumpulan sedemikian,” katanya.

Dr Wan Azizah bersama Waytha Moorthy pada majlis perasmian Program Festival Merdeka #perpaduandihati di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya, di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin
Berita Harian X