Sabtu, 24 Ogos 2019 | 12:16pm
PESERTA Worldskills Competition berpeluang merasai pelbagai pengalaman dan mendalami budaya negara lain.
PESERTA Worldskills Competition berpeluang merasai pelbagai pengalaman dan mendalami budaya negara lain.

One School One Country kongsi silang budaya

KUALA LUMPUR: Peribahasa menyelam sambil minum air, boleh diibaratkan kepada kontinjen Malaysia yang terbabit dalam WorldSkills Competition (WSC) Kazan 2019 apabila turut memperkenalkan budaya, nilai dan tradisi kepada pelajar sekolah di Kazan, Russia menerusi program One School One Country.

Program itu diadakan bertujuan untuk memperkenalkan keunikan budaya masing-masing kepada pelajar sekolah tempatan supaya mereka dapat merasai pengalaman itu sendiri walaupun tidak pernah berkunjung ke negara berkenaan.

Presiden WorldSkill International (WSI), Simon Bartley, berkata program One School One Country ini kali pertama diperkenalkan oleh penganjur WorldSkills Shizuoka pada tahun 2007 dengan matlamat berkongsi budaya negara setiap peserta yang bertanding.

Katanya, kedatangan peserta daripada seluruh pelusuk dunia dimanfaatkan menerusi pembabitan secara tidak langsung pelajar sekolah tempatan untuk mengenali budaya setiap negara yang bertanding.

“Justeru, pada WSC Kazan 2019 ini, selain pelajar sekolah tempatan Russia menyaksikan sendiri bagaimana kemahiran itu mampu menjadi satu kerjaya terbaik kepada seseorang dan mengenali budaya unik negara bertanding, peserta WSC juga akan mempelajari budaya Russia juga.

“Jadi, kami yakin program One School One Country ini sangat bermanfaat dan suatu pengalaman yang tidak boleh dilupakan oleh setiap individu yang terbabit secara tidak langsung dalam WSC ini.

“Dalam mereka memahami kepentingan kemahiran pada dunia moden hari ini, mereka juga dapat merasai budaya antarabangsa yang dikongsi oleh setiap peserta WSC,” katanya.

PELBAGAI aktiviti disediakan untuk kontinjen Malaysia semasa program One School One Country.
PELBAGAI aktiviti disediakan untuk kontinjen Malaysia semasa program One School One Country.

Menerusi program One School One Country ini, sebanyak 57 sekolah di Kazan dipilih untuk dipadankan dengan negara-negara bertanding.

Sementara itu, kontinjen negara akan memperkenalkan tarian Sumazau dan sukan sepak takraw kepada Sekolah Lyceum No. 177 iaitu institusi sekolah menengah dan antara 100 sekolah terbaik di Republic of Tatarstan, Russia, begitu juga sebaliknya.

Kontinjen negara juga akan mendedahkan kepada pelajar sekolah terbabit dengan bidang kemahiran yang disertai pada WSC Kazan 2019 ini.

Pada tahun ini, menerusi edisi ke 45, Malaysia menghantar 24 peserta negara dari dua kategori iaitu belia dan junior untuk bertanding dalam 22 bidang kemahiran bagi merebut gelaran juara pada WSC Kazan 2019 yang berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Expo KAZAN, Russia pada 22 hingga 27 Ogos ini.

Antara 56 kemahiran dipertandingkan itu, peserta negara akan bertanding dalam 19 kemahiran kategori belia antaranya pembuatan kabinet, bakeri, mengecat kereta, memasak, pemasangan elektrikal, teknologi fesyen, pertukangan barang kemas, kimpalan serta penyejukbekuan dan penyamanan udara.

Lima peserta kategori junior pula akan bertanding dalam pemasangan elektrikal, operasi drone dan robot mudah alih.

WORLDSKILLS Competition berkongsi budaya negara setiap peserta yang bertanding.
WORLDSKILLS Competition berkongsi budaya negara setiap peserta yang bertanding.

Berita Harian X