Jumaat, 23 Ogos 2019 | 6:14pm
SIDANG media pelapor khas PBB, Profesor Philip Alston tentang kemiskinan melampau dan hak asasi manusia hasil penemuan awal bagi kemiskinan di Malaysia anjuran United Nations Development Program (UNDP) di JWW Marriot Hotel. - Foto Owee Ah Chun

Nilai semula kadar kemiskinan negara - Pelapor Khas PBB

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengkaji dan menilai semula kadar kemiskinan di negara ini kerana laporan rasmi bahawa ia hanya pada kadar 0.4 peratus adalah tidak tepat.

Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Philip Alston, berkata kadar kemiskinan sebenar di Malaysia adalah jauh lebih tinggi, hampir sama dengan negara lain iaitu pada kadar kira-kira 15 peratus.

Alston yang juga pakar hak asasi manusia PBB, berkata ia adalah hasil penemuannya selepas mengadakan lawatan ke negara ini selama 11 hari bermula 13 Ogos lalu.

“Kadar 0.4 peratus tidak menunjukkan realiti di peringkat akar umbi. Kita boleh mempersoalkan sama ada kadar sebenar adalah 12 atau 18 peratus, tetapi kadar itu sangat tinggi.

“Walaupun tidak dapat dinafikan Malaysia mencapai pertumbuhan yang mengagumkan dalam mengurangkan kemiskinan dalam tempoh 50 tahun yang lalu, namun dakwaan rasmi bahawa kemiskinan sudah dibasmi atau hanya wujud dalam kelompok kecil di kawasan luar bandar adalah tidak tepat,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Alston berkata, beliau mengadakan lawatan ke lima negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Sarawak, Sabah dan Kelantan, serta bertemu dengan pegawai kerajaan negeri dan Persekutuan, agensi antarabangsa, masyarakat Orang Asli, ahli akademik dan penduduk bandar serta luar bandar yang terkesan dengan kemiskinan.

“Garis kemiskinan di Malaysia yang terlalu rendah tidak konsisten dengan kos kehidupan di negara ini. Dengan garis kemiskinan sebanyak RM980 sebulan bagi setiap isi rumah, keluarga dengan empat ahli keluarga hidup dengan RM8 atau kurang sehari.

“Garis kemiskinan serendah ini tragik bagi negara yang hampir mencapai status berpendapatan tinggi,” katanya.

Alston berkata, maklumat tidak tepat mengenai kadar kemiskinan juga menyebabkan dasar kerajaan hanya dilaksanakan secara umum dan tidak khusus untuk membasmi kemiskinan golongan tertentu.

Katanya, walaupun perkhidmatan penjagaan kesihatan di Malaysia menyeluruh dan kadar pendaftaran sekolah adalah tinggi tetapi ramai yang masih ketinggalan serta sebenarnya hidup dalam kemiskinan.

“Saya bercakap dengan keluarga yang susah payah membayar sewa, anak mereka tidak mampu ke sekolah dan tidak mendapat penjagaan kesihatan yang baik disebabkan kos pengangkutan,” katanya.

Katanya, satu laporan khas komprehensif berserta kesimpulan dan syor akan dibentangkan pihaknya kepada Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva pada Jun tahun depan.

Sementara itu, Felo Utama Institut Kebangsaan Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Denison Jayasooria, berkata kerajaan perlu mengambil serius penemuan berkenaan kerana isu garis kemiskinan yang rendah itu sudah pun dibangkitkan sebelum ini.

“Dalam merangka Rancangan Malaysia Ke-12, Malaysia perlu melihat semula pelbagai dimensi indeks kemiskinan dan pendapatan garis kemiskinan bagi mengetahui realiti sebenar.

“Ukuran pendapatan saja tidak mencukupi dalam mengukur kadar kemiskinan. Kita perlu melihat akses kepada pendidikan, khidmat kesihatan, pekerjaan yang stabil, simpanan, keselamatan sosial dan sebagainya, yang menjadi dimensi penting untuk diambil kira,” katanya.

Berdasarkan Jabatan Perangkaan, Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2017 menunjukkan kadar kemiskinan di negara ini menurun daripada 0.6 peratus pada 2014 kepada 0.4 peratus pada 2016.

Berita Harian X