Jumaat, 23 Ogos 2019 | 2:58pm
KETUA Grab Malaysia, Sean Goh.
KETUA Grab Malaysia, Sean Goh.

Grab sedia tingkat ciri keselamatan untuk perkhidmatan motosikal

KUALA LUMPUR: Syarikat e-hailing, Grab Malaysia bersedia melaksanakan peningkatan dan inovasi keselamatan bagi perkhidmatan motosikal jika negara memilih menjadikan motosikal sebagai satu pengangkutan awam.

Ketua Grab Malaysia, Sean Goh, berkata pihaknya juga mencadangkan peraturan Perkhidmatan Kenderaan Awam (PSV) menetapkan ciri keselamatan khas motosikal bagi melindungi orang ramai.

“Grab mengalu-alukan sokongan bagi memberi peluang pendapatan (menerusi perkhidmatan motosikal). Grab sedar Kabinet menyokong permintaan penggunaan perkhidmatan motosikal ini, tetapi pada masa sama menyatakan kebimbangan terhadap keselamatan penggunaan perkhidmatan itu.

“Ketika kerajaan mempertimbangkan penggunaan perkhidmatan ini, kami percaya adalah penting untuk menangani aspek kritikal dalam perkhidmatan ini iaitu keselamatan penunggang motosikal, penumpang dan komuniti dengan mengambil kira infrastruktur jalan raya, keadaan lalu lintas dan rekod keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Goh berkata, pada masa ini Grab adalah perkhidmatan penumpang motosikal pertama di Indonesia, Vietnam dan Thailand.

Katanya, Grab juga mewujudkan peluang pendapatan kepada lebih 10,000 rakan kongsi motosikal menerusi perkhidmatan GrabFood dan GrabExpress di Lembah Klang, Kuching, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Melaka dan Johor Bahru.

“Kami akan terus mewujudkan lebih banyak peluang pendapatan untuk semua rakyat Malaysia termasuk golongan belia, orang kurang upaya (OKU) dan mereka yang mencari peluang pendapatan,” katanya.

Rabu lalu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Kabinet meluluskan cadangan mewujudkan perkhidmatan GoJek, manakala Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof pula memaklumkan Jemaah Menteri memutuskan supaya kajian dari sudut undang-undang dibuat terlebih dulu sebelum ia dilaksanakan.

Berita Harian X