Khamis, 22 Ogos 2019 | 10:10pm
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, (tengah) diiringi Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Roselindawati Abdul Rahman (kiri) mengibarkan jalur gemilang pada Majlis Makan Malam Peserta Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang di Kediaman Rasmi Menteri Besar, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

Bersatu tolak pemasangan Jalur Gemilang terbalik - MB

SHAH ALAM: Rakyat digesa bersatu padu menolak tindakan pihak tertentu yang cuba menggugat keharmonian dengan pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, berkata Jalur Gemilang adalah lambang penyatuan rakyat berbilang kaum yang sepatutnya dijaga, bukan untuk diperlekehkan serta diletakkan di tempat yang tidak sepatutnya.

“Kerajaan Selangor dengan tegas menolak cubaan pihak tertentu yang memperlekeh atau menggunakan bendera untuk kepentingan sempit mereka. Sikap seperti ini tidak diterima di negeri ini.

“Sekarang, ada unsur untuk memperlekehkan Jalur Gemilang yang diusung serta dijaga sejak dahulu. Ia (Jalur Gemilang ) adalah aset bernilai, bukannya kertas, kain atau fabrik yang mempunyai pelbagai warna semata-mata.

“Ia mempunyai 14 jalur yang menjadi lambang kepada keutuhan negara ini,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Makan Malam Peserta Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang di Kediaman Rasmi Menteri Besar di sini, hari ini.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, (tengah) bersama peserta pada Majlis Makan Malam Peserta Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang di Kediaman Rasmi Menteri Besar, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Roselindawati Abdul Rahman.

Amirudin turut mengingatkan semua pihak untuk tidak merosakkan kemerdekaan negara yang dikecapi sekarang.

“Jika kita (bertanding) di Sukan Olimpik, inilah bendera yang akan kita kibarkan. Jika kita mendaki ke puncak paling tinggi di dunia, inilah bendera yang kita pacakkan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pada awal kemerdekaan negara, penjajah tidak yakin masyarakat pelbagai kaum dapat hidup aman di negara ini, namun sebaliknya berlaku.

“Dahulu penjajah secara sinis katakan kita tidak mampu bangunkan negara sebab ada pelbagai kaum. Malah, negeri juga terpisah serta memiliki jati diri, bahasa dan kebudayaan tersendiri.

“Namun, berkat kesepakatan pemimpin terdahulu, akhirnya kita patut berbangga apabila negara disegani dan juga dicemburui,” katanya.

Berita Harian X