Khamis, 22 Ogos 2019 | 6:58pm
MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook. NSTP/Zulfadhli Zulkifli.

Kajian sebulan sebelum laksana GoJek

SEREMBAN: Kementerian Pengangkutan akan melakukan kajian terperinci terhadap cadangan memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal atau GoJek dalam tempoh sebulan susulan persetujuan Kabinet untuk mewujudkannya.

Menterinya, Anthony Loke, berkata kajian bagi mengenal pasti hala tuju atau mekanisme pelaksanaan pengangkutan awam baharu itu termasuk peraturan dan undang-undang yang bakal digunakan, akan diserahkan kepada kerajaan dalam tempoh sebulan.

Katanya, kementeriannya juga akan melihat dari aspek keselamatan, insurans dan isu budaya termasuk melihat pelaksanaan yang sudah dibuat di negara lain.

“Apa yang kita utamakan adalah ciri keselamatan. Kita tahu ramai menteri yang memberikan sokongan dalam usaha ini kerana dapat menjana ekonomi dalam pelbagai aspek termasuk industri kecil dan sederhana serta e-dagang.

“Tetapi sekarang kita fokus kepada mekanisme dan apabila siap, kita akan umumkan kerana mahu pastikan keselamatan terjamin dalam menyediakan pengangkutan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Kibar Jalur Gemilang Peringkat Parlimen Seremban di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panchor di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Loke berkata, GoJek dilihat sebagai pelengkap kepada sistem pengangkutan awam darat sedia ada dan ia tidak akan menggantikan secara keseluruhan pengangkutan awam yang lain seperti kereta api atau bas.

“Ia kerana masalah utama yang dihadapi di Kuala Lumpur apabila pengguna sampai di stesen bas atau kereta api, mereka sukar mendapatkan pengangkutan awam lain untuk bergerak ke pejabat atau rumah,” katanya.

Beliau berkata, apabila semuanya sudah dimuktamadkan, kementeriannya akan membuka permohonan dan mana-mana syarikat perkhidmatan teksi motosikal boleh mula mendaftar.

“Ada laporan kata kita beri permohonan kepada GoJek… belum. Mereka cuma datang beri cadangan kepada Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) beberapa hari lalu dan belum ada sebarang permohonan rasmi lagi,” katanya.

Semalam, Kabinet meluluskan cadangan untuk mewujudkan perkhidmatan teksi motosikal yang akan memberi peluang untuk anak muda terutamanya 'Mat Motor' untuk mendapatkan pekerjaan.

GoJek adalah antara syarikat pemula niaga unicorn di rantau ini dan menumpukan kepada rangkaian pengangkutan dan permulaan logistik yang berpusat di Jakarta, Indonesia.

Perkhidmatannya boleh digunakan menggunakan aplikasi yang dibangunkan.

Berita Harian X