Rabu, 21 Ogos 2019 | 1:39pm
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. - NSTP/Asyraf Hamzah
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. - NSTP/Asyraf Hamzah

Tangani 'darurat iklim' sebelum terlambat - Sultan Nazrin

BANGI: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah dunia yang kini berdepan situasi ‘darurat iklim’ angkara kerakusan manusia memerlukan etika baharu penjagaan alam sekitar.

Baginda bertitah, langkah tuntas itu perlu dilaksana memandangkan ahli sains terkemuka dunia mengunjurkan bahawa masyarakat di seluruh dunia hanya mempunyai sekitar 18 bulan untuk bertindak merintis perubahan.

“Kita ketika ini di ambang suatu keadaan yang diungkapkan orang ramai sebagai ‘darurat iklim’, malah ia sudah diisytiharkan melanda beberapa negara seperti Kanada dan United Kingdom.

“Oleh itu, beta ingin mencadangkan beberapa cara dengan mengetengahkan sisi pandangan Islam dan Konfusianisme dalam merungkai isu global, termasuk berkaitan perubahan iklim.

“Sekiranya kita mendalami apa yang dititipkan Islam dan Konfusianisme, kedua-duanya mengajar pengikut masing-masing mengenai kepentingan menggalas tanggungjawab besar untuk menjaga planet dan pelbagai hidupan.

“Oleh itu, bersandarkan inti pati mesej disampaikan menerusi pendidikan Islam dan Konfusianisme, kita harus menjaga bumi sebaiknya, sebelum ia berhenti menampung kehidupan manusia,” titah baginda, hari ini.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan Dialog Peradaban Belia Malaysia-China Mengenai Islam dan Konfusianisme, bertemakan: ‘Sumbangan Islam dan Konfusianisme Ke Arah Etika Abad Ke-21’, yang dianjurkan sempena ulang tahun ke-45 hubungan diplomatik kedua-dua negara, di sini.

Sultan Perak yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong bertitah, penelitian lanjut sebenarnya mendapati teras pendidikan Islam berhubung pendekatan penjagaan alam sekitar amat selari dengan inti pati digariskan dalam Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

“Sebagai contoh SDG yang keenam dan ke-14 menekankan kepentingan menjaga sumber air kerana ia adalah nadi kehidupan, iaitu perkara sama disebut dalam al-Quran.

“Konfusianisme juga tidak jauh berbeza apabila wujud perkaitan rapat dengan SDG, seperti matlamat ke-12, mengenai kepentingan aspek penggunaan dan penghasilan yang perlu dikendalikan secara berhemah.

“Dunia kita sebenarnya dalam keadaan terdesak dan memerlukan pendekatan beretika seperti ditekankan oleh pendidikan Islam serta Konfusianisme mengenai tugas manusia terhadap penjagaan bumi.

“Beta melihat, ini adalah ‘nadi’ sumbangan sebenar yang boleh diketengahkan kedua-dua tradisi (Islam dan Konfusianisme) ke arah pembentukan etika global abad ke-21,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, aspek lain yang berupaya diterokai seiring sumbangan Islam dan Konfusianisme ialah ke arah memacu usaha membasmi kemiskinan global.

Meskipun statistik Bank Dunia menunjukkan penyusutan dalam kadar kemiskinan tegar sejak abad ke-20, baginda bertitah, kira-kira 10 peratus atau 780 juta individu daripada keseluruhan populasi global masih merekodkan pendapatan harian bawah AS$1.90 (RM7.93).

“Islam dan Konfusianisme mengajar pengikutnya mengenai keperluan berkongsi kekayaan bagi menampung kehidupan individu yang memerlukan, selain meletakkan nilai sosial melangkaui kepentingan menjana kewangan.

“Kita mungkin boleh menyelami pengajaran yang dititipkan Islam dan Konfusianisme ini untuk dijadikan sumber garis panduan beretika ke arah usaha membasmi kemiskinan.

“Sumbangan lain dan boleh dikatakan antara paling signifikan oleh Islam dan Konfusianisme ialah dasar toleransi dalam menjalani hidup berkomuniti, sejajar peredaran semasa yang menyaksikan kita berdepan pelbagai ancaman keganasan.

“Perkembangan negatif berikutan kebencian yang disemarakkan menerusi perkaitan bangsa, budaya dan agama ini harus ditangani secepat mungkin.

“Oleh itu, kita memerlukan dialog peradaban di peringkat antarabangsa dan rentas budaya bagi memastikan hubungan antara negara di seluruh dunia berupaya kekal utuh,” titah baginda.

Berita Harian X