Selasa, 20 Ogos 2019 | 11:46pm
PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada program Jelajah Presiden PKR ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Eizairi Shamsudin

Dr Zakir tak sepatutnya timbulkan masalah - Anwar

KUALA LUMPUR: Pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik, sepatutnya berterima kasih kepada kerajaan kerana mengekalkan status penduduk tetap (PR) miliknya yang diberikan oleh pentadbiran lalu.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Dr Zakir sewajarnya menghargai usaha kerajaan yang melindunginya daripada Kerajaan India, bukan menimbulkan masalah kepada Pakatan Harapan (PH) dan rakyat Malaysia.

“Patut dia berterima kasih (pada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad). Bagi sepatah dua kata, ‘Tun saya berterima kasih kerana beri perlindungan dan jaminan keselamatan dan minta maaf tak akan ulangi’.

“Ini tidak, dia jadi masalah pada kita. Kita dah tolong, tapi dia bagi masalah pula pada kita,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Presiden PKR ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan hadirin yang bertanyakan mengenai pendiriannya serta parti berhubung kontroversi melanda pendakwa dari India itu.

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan tidak bersetuju dengan sebahagian kandungan ceramah Dr Zakir di Kelantan baru-baru ini, yang didakwa menyentuh sensitiviti kaum India dan Cina di negara ini.

“Soal beliau mencerca kaum India atau Cina, walaupun dia kata tak maksudkan begitu dan minta maaf, saya tak setuju. Dalam dakwah mestilah ‘bil hikmah’ (secara berhikmah), tarik orang ramai.

“Saya tak nafikan mengenali Dr Zakir secara peribadi, ada baiknya dan bukan seperti yang ditohmah, tetapi (ucapannya tidak wajar),” katanya.

Anwar bagaimanapun tidak bersetuju dengan pandangan pihak tertentu yang mahu Dr Zakir dihukum segera, sebaliknya sebarang tindakan kepada penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 2013 itu perlu berlandaskan kedaulatan undang-undang.

“Sekarang siasatan awal polis putuskan beliau tak boleh ceramah. Oklah buat masa ini, selebihnya (pendirian PKR) saya nyatakan esok,” katanya.

Beberapa portal berita baru-baru ini melaporkan Dr Zakir, ketika berceramah di Kelantan pada 9 Ogos lalu, mendakwa masyarakat Hindu di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri di India berbanding Dr Mahathir.

Pendakwah itu turut didakwa meminta ‘tetamu lama’ yang ditujukan kepada masyarakat Cina di Malaysia, untuk pulang terlebih dulu bagi menjawab desakan beberapa pihak yang mahukannya keluar dari Malaysia.

Hari ini, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, dilaporkan berkata Dr Zakir tidak dibenarkan memberi ceramah, termasuk dalam media sosial dan larangan memberi ceramah di seluruh negara itu terpakai sehingga siasatan polis selesai.

Sementara itu, menjawab soalan hadirin mengenai dakwaan Kerajaan Selangor mengurangkan bantuan kepada golongan B40, Anwar berkata beliau akan mendapatkan penjelasan daripada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

“Ada ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) dan Ahli Parlimen bangkitkan perkara ini dan Menteri Besar mungkin ada penjelasan mengenai kewangan yang dulu digembar gembur banyak, tapi bila dikaji tak sebanyak itu.

“Saya akan dapatkan penjelasan dan minta kalau boleh dikaji semula apa yang boleh diberikan balik supaya jangan beri gambaran negatif kepada kerajaan PH,” katanya.

6609 dibaca
Berita Harian X