Selasa, 20 Ogos 2019 | 9:19pm
PENGERUSI Eksekutif Utusan Melayu (Malaysia) Berhad (Kumpulan Utusan) Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir (kanan) ketika sidang media mengulas situasi semasa syarikat penerbitan akhbar itu yang tidak akan menghentikan operasi mereka. - Foto BERNAMA

Utusan terus beroperasi, tapi terpaksa naik harga akhbar

KUALA LUMPUR: Utusan Melayu (M) Berhad (Utusan Melayu) tidak akan menutup operasi, sebaliknya meneruskan penerbitan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! seperti biasa meskipun berdepan kemelut kewangan.

Pengerusinya, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir, berkata syarikat itu bagaimanapun terpaksa menaikkan harga kedua-dua akhbar itu, masing-masing sebanyak 50 sen bagi mengurangkan beban kos operasi yang ditanggung ketika ini.

Katanya, Utusan Malaysia dan Kosmo! akan dinaikkan masing-masing kepada RM2 dan RM1.50 daripada RM1.50 dan RM1, berkuat kuasa Jumaat ini.

“Daripada peningkatan ini dan berdasarkan anggaran akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! masing-masing terjual sebanyak 50,000 dan 100,000 naskhah sehari, kita jangka ia akan menyumbang kira-kira RM2.3 juta sebulan kepada Utusan.

“Berdasarkan laporan terakhir kepada Bursa, kita mengalami kerugian RM3 juta setiap bulan, namun hasil jualan akhbar ini dijangka mengurangkan defisit kita kepada RM750,000 sebulan.

“Kita harap sentimen untuk membantu Utusan dan semangat untuk memastikan Utusan terus beroperasi selepas 80 tahun dalam kalangan masyarakat ketika ini, akan diterjemah dengan pembelian kedua-dua akhbar ini, walaupun harganya naik,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Utusan Melayu di sini, hari ini.

Sidang media itu susulan pertemuan pengurusan Utusan Melayu dengan kira-kira 800 kakitangannya selama lebih sejam bagi membincangkan situasi dihadapi syarikat itu, khususnya membabitkan tunggakan gaji pekerja.

Abd Aziz berkata, pihaknya yakin kewangan Utusan Melayu akan kembali stabil antara 2020 hingga 2021, jika mereka berjaya melupuskan beberapa aset, meningkatkan pendapatan pengiklanan dan pertambahan pembaca kedua-dua akhbar Bahasa Melayu itu.

Berhubung tunggakan gaji, Abd Aziz berkata, pihaknya bersetuju untuk membayar RM2,000 kepada 800 kakitangan Utusan Melayu hari ini sebagai penyelesaian jangka pendek, namun tiada jaminan khusus bagi jangka panjang.

“Kita terpaksa naikkan harga akhbar dan jika jumlah pembaca kekal atau bertambah, di samping penjualan aset diselesaikan, kita yakin akan mampu membayar gaji pekerja mengikut masa,” katanya sambil menegaskan hanya satu aset berdepan masalah untuk dijual kerana tiada Sijil Perakuan Kelayakan (CF).

Ditanya jika ada pelabur yang mahu membeli aset atau melabur dalam Utusan Melayu, Abd Aziz berkata, terdapat beberapa pelabur berpotensi namun mereka sedikit skeptikal selepas melihat status kewangan syarikat.

“Ada beberapa pelabur yang menunjukkan minat, tapi apabila tengok unjuran dan kehilangan aliran tunai kita setiap bulan, mereka risau juga,” katanya yang membuka pintu untuk bergabung dengan mana-mana entiti media.

Abd Aziz berkata, jumlah tunggakan gaji dan bayaran Skim Pemisahan Sukarela (VSS) adalah hampir RM10 juta, iaitu lebih RM3 juta bagi gaji dan RM6 juta bagi VSS.

Berhubung hala tuju editorial Utusan Melayu yang dilihat berat sebelah sebelum ini, Abd Aziz menegaskan UMNO tidak pernah terbabit secara langsung dalam keputusan editorial sejak beliau dilantik sebagai Pengerusi Utusan Melayu.

“Wadah kita wadah rakyat. Kita nak bantu ketengahkan pandangan rakyat, namun bila buat begitu, kita dilihat menentang kerajaan. Bukan itu agenda kita.

“Kita bukan lidah UMNO. UMNO tak pernah ganggu editorial. Utusan bebas untuk menulis apa sahaja, tapi mesti bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Cawangan Utusan, Mohd Taufek Razak, berkata UMNO bersetuju memberi suntikan dana sebanyak RM1.6 juta kepada Utusan Melayu selepas kakitangan syarikat tidak menerima gaji sejak Jun lalu.

“Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan mesyuarat dengan ahli lembaga pengarah Utusan.

“Hasil pertemuan itu, UMNO bersetuju menyuntik dana sebanyak RM1.6 juta, hasil desakan melalui piket kakitangan Utusan semalam dan 800 kakitangan akan mendapat RM2,000 sebelum 12 tengah malam ini," katanya pada sidang media di ibu pejabat Utusan Melayu.

Ahmad Zahid didakwa mengadakan pertemuan dengan pengurusan Utusan Melayu bagi membincangkan masa depan syarikat itu semalam, yang disahkan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, susulan kira-kira 100 kakitangan Utusan Melayu, ahli NUJ cawangan syarikat itu dan bekas kakitangan yang mengambil VSS melancarkan piket semalam, menuntut pengurusan membayar tunggakan gaji hampir dua bulan.

Lewat petang semalam, kakitangan Utusan Malaysia dan Kosmo! turut dimaklumkan syarikat itu bakal menghentikan penerbitan kedua-dua akhbar Bahasa Melayu itu bermula Khamis.

Annuar Musa dalam satu kenyataan hari ini turut mengesahkan UMNO menghulurkan membantu kepada Utusan Melayu atas dasar simpati, berikutan parti itu sudah menjual pegangan sahamnya kepada pihak swasta.

“Dengan penuh rasa simpati dan tanggungjawab, UMNO menyerahkan kepada pengurusan baharu untuk mengambil tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, Abd Aziz ketika diminta mengesahkan mengenai suntikan dana daripada UMNO itu, enggan mengulas lanjut.

Pada Februari lalu, UMNO yang berdepan masalah kewangan menjual 31.61 peratus pegangan dalam Utusan Melayu kepada Abd Aziz yang juga bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu pada harga RM6.65 juta, mewakili 65.2 peratus premium.

3291 dibaca
Berita Harian X