Selasa, 20 Ogos 2019 | 9:04pm
KEADAAN penempatan rumah kongsi dalam bangunan sedang dibina.

Rumah kongsi perangkap maut

KUALA LUMPUR: Tindakan sesetengah pemaju atau kontraktor menempatkan buruh binaan di bangunan yang masih dalam pembinaan, mendedahkan pekerja terbabit kepada pelbagai risiko kerana umpama tinggal dalam ‘perangkap maut’.

Penempatan rumah kongsi sementara dalam bangunan ini turut menyukarkan gerakan penguatkuasaan dalam membanteras pendatang asing tanpa izin apabila mereka mudah meloloskan diri ke tingkat lain ketika pemeriksaan.

Tinjauan BH di beberapa tapak projek bangunan bertingkat di sekitar ibu negara, baru-baru ini mendapati, banyak rumah kongsi di dalam bangunan yang sedang pembinaan didapati bukan sahaja dalam keadaan tidak memuaskan, malah tidak selamat dan boleh menjejaskan kesihatan pekerja.

Pemaju dan kontraktor dikatakan lebih gemar menempatkan buruh kontrak mereka tinggal di bangunan yang masih dalam pembinaan kerana memudahkan pekerja dikawal, menjimatkan kos pengangkutan apabila jarak ke tempat kerja hanya beberapa meter, selain jaminan pekerja boleh memulakan tugas pada waktu ditetapkan.

Malah, tinjauan di sebuah projek pembinaan bangunan 48 tingkat di Bangsar didapati lebih 100 lot ‘rumah kongsi’ sementara disediakan di tingkat bawah tanah bangunan dengan persekitaran yang tidak selesa.

Tinjauan lebih dekat mendapati, rumah kongsi berkenaan dibina menggunakan bahan mudah terbakar seperti kayu dan papan cebisan binaan, tiada berbumbung dan dinding nipis.

Kedudukan rumah kongsi di bawah tanah terlalu dalam iaitu dua tingkat dari permukaan tanah dengan tiada laluan keluar jika berlaku kebakaran dan bergantung kepada tangga tanpa pemenang.

Tangga itu juga adalah laluan yang digunakan pekerja untuk melakukan kerja pembinaan harian dan laluan jika berlaku kecemasan.

Sistem pendawaian elektrik didapati berserabut dan jika berlaku litar pintas, ia dikhuatiri mudah merebak.

Malah dari segi kesihatan, rumah kongsi tiada sistem pembuangan najis sempurna, pekerja mandi dan membasuh di kawasan sama, manakala mereka juga menyediakan makanan dengan memasak di rumah kongsi.

Anggaran keluasan setiap lot rumah berukuran tiga meter lebar dan tiga meter panjang biasanya menempatkan sekurang-kurangnya dua pekerja, namun BH difahamkan ada pekerja membawa masuk isteri dan anak ke rumah kongsi.

Sementara tinjauan di sebuah tapak projek pembinaan bangunan bertingkat di Jalan Kuchai Lama, pula mendapati rumah kongsi disediakan di aras dua hingga enam, sekali gus meletakkan mereka dalam risiko sekiranya berlaku runtuhan struktur.


KEADAAN rumah kongsi di bawah tanah dalam bangunan yang sedang dibina di ibu negara.

Kemungkinan itu tidak boleh diketepikan susulan kejadian dua pekerja yang menginap di rumah kongsi disediakan di tapak binaan berhampiran stesen Sistem Aliran Transit (LRT) Gombak pada 22 Mei lalu, maut selepas terperangkap dalam runtuhan.

Mengulas isu itu, jurucakap Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) di Kementerian Sumber Manusia, mengakui memang ada peruntukan undang-undang menetapkan rumah kongsi di tapak projek perlu ada akses keluar masuk berasingan dari tempat kerja.

Ketetapan berkenaan, katanya, diperuntukkan melalui Peraturan-Peraturan Keselamatan, Kesihatan dan Kebajikan di bawah Akta Kilang dan Jentera 1967.

“Pekerja tidak boleh sewenang-wenangnya masuk ke tempat kerja terus dari rumah kongsi yang didirikan. Ia syarat utama yang perlu dipatuhi, selain aspek keselamatan lain.

“Jika terdapat perlanggaran undang-undang berkenaan, tindakan notis dan perundangan boleh diambil terhadap majikan,” katanya kepada BH.

Sehubungan itu, katanya, penginapan buruh di tapak projek perlu dipantau pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan rumah kongsi disediakan mengikut peraturan dan tidak disalah guna untuk tujuan tidak dibenarkan, terutama menjadi tempat persembunyian pendatang.

CIDB kaji sedia penginapan mudah alih

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sedang mengkaji penyediaan Pusat Penginapan Sementara Mudah Alih (Mobile CLQ) bagi mengatasi isu rumah kongsi di tapak pembinaan.

Inovasi itu hasil usaha sama CIDB dengan anak syarikatnya, Construction Labour Exchange Centre Berhad (CLAB) dan dijangka siap sebelum peraturan penginapan pekerja dikuatkuasakan Kementerian Sumber Manusia.

Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ir Ahmad Asri Abdul Hamid, berkata Mobile CLQ bersesuaian dengan kehendak peruntukan baharu dalam pindaan Akta 446.

“Pindaan itu menetapkan majikan hendaklah memastikan penyediaan penginapan untuk pekerja mematuhi standard minimum ,” katanya kepada BH.

Pada 2015, katanya, CIDB sudah membangunkan Standard Malaysia MS 2593-2015, iaitu Malaysian Standard for Temporary Construction Site Worker’s Amenities and Accommodation untuk penginapan sementara dalam industri pembinaan.

“Melalui pindaan Akta 446, majikan perlu membuat permohonan kepada ketua pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bagi mendapatkan Perakuan Penginapan (pekerja binaan).

“Perakuan itu adalah mengikut bentuk dan cara sebagaimana ditentukan oleh ketua pengarah JTK. Sekiranya majikan melanggar peruntukan undang-undang ini, mereka boleh didenda tidak melebihi RM50,000,” katanya.

Beliau berkata, pindaan Akta 446 diluluskan Dewan Rakyat pada 15 Julai lalu akan terpakai untuk semua sektor atau industri, termasuk industri pembinaan.

Sementara itu, Ahmad Asri berkata, garis panduan Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Industri (OSHCIM) yang diperkenalkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) pada 2020 dijangka dapat mengurangkan isu rumah kongsi tidak mematuhi piawaian berkenaan.

Peraturan itu, katanya, memperuntukkan peranan dan tanggungjawab semua pihak berkaitan termasuk pelanggan, arkitek, pereka bentuk dan kontraktor ke atas keselamatan dan kesihatan pekerja di tapak pembinaan.

“Ia membolehkan pihak terbabt memperuntukkan keperluan untuk mematuhi Akta 446 pada peringkat perancangan projek lagi.

“CIDB juga bekerjasama rapat dengan JKKP dalam melaksanakan pelbagai program kesedaran dan latihan bagi memastikan industri pembinaan bersedia dengan penguatkuasaan peraturan berkenaan,” katanya.

Berita Harian X