Ahad, 18 Ogos 2019 | 12:00pm
Sri Aman, Sarawak mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat setakat pagi ini. - Foto BERNAMA

Rompin, Sri Aman catat IPU sangat tidak sihat

KUALA LUMPUR: Rompin, Pahang dan Sri Aman, Sarawak mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat setakat pagi ini.

Berdasarkan data dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) setakat jam 11 pagi ini, IPU di Sri Aman mencatatkan bacaan 259 manakala di Rompin pada bacaan 225.

Bagaimanapun, IPU di Stesen Pengawasan Udara Automatik di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri menurun kepada kategori tidak sihat dengan bacaan 160 berbanding 221 yang dicatatkan pada petang semalam.

Menurut data JAS juga, empat kawasan di Sabah (Tawau, Keningau, Sandakan dan Kota Kinabalu) dan Limbang di Sarawak, mencatatkan bacaan IPU baik.

Sementara itu, 60 lagi stesen IPU di seluruh negara mencatatkan bacaan sederhana.

Bacaan IPU 0-50 menunjukkan kualiti udara sihat; 51-100, sederhana; 101-200, tidak sihat; 201-300, sangat tidak sihat dan berbahaya jika melebihi 300.

Orang awam boleh merujuk laman sesawang JAS di alamat http://apims.doe.gov.my/v2/ atau dengan memuat turun aplikasi telefon pintar, MyIPU di ‘Google Play’ bagi mendapatkan bacaan IPU terkini pada setiap jam.

189 dibaca
Berita Harian X