Sabtu, 17 Ogos 2019 | 9:01pm
AP mengimport barangan makanan diiklankan kepada sesiapa sahaja di laman web dan media sosial. - NSTP/Owee Ah Chun

Eksklusif: AP dijual online

KUALA LUMPUR: Permit Kelulusan (AP) bagi mengimport pelbagai barangan makanan yang dikeluarkan kerajaan dalam usaha memenuhi keperluan rakyat, dikesan diiklankan untuk dijual secara meluas oleh penerima kemudahan itu atau ejen mereka, menerusi laman web dan media sosial.

Jika AP yang ditawarkan untuk jualan itu adalah sah, ia menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab penerimanya yang mahu mengaut keuntungan mudah, tetapi menyebabkan pengguna menjadi mangsa kerana perlu membayar lebih apabila barangan yang dibawa masuk, dijual pada harga lebih tinggi berikutan lapisan harga ditanggung pengimport.

Sebaliknya, tawaran menjual AP itu menjurus kepada penipuan, jika ia adalah palsu, bagi mengambil kesempatan memperdayakan mereka yang terdesak membelinya bagi tujuan perniagaan.

Semakan BH terhadap sebuah web yang menjadi saluran iklan perkhidmatan dan barangan, mendapati banyak pihak mendakwa mempunyai AP seperti tepung, ayam, daging, gula dan kubis bulat, mengiklankan untuk menjualnya.

Usaha wartawan BH menyamar menghubungi beberapa ‘pemegang AP’ yang mengiklankannya untuk jualan, mendapati mereka mampu mengaut keuntungan antara RM2.4 juta hingga RM3 juta, sekiranya dapat menjual 20,000 tan tepung kuota AP yang dimiliki.

Seorang pemegang AP tepung yang dihubungi, menawarkan untuk menjual di antara 12 hingga 15 sen bagi AP mengimport setiap kilogram (kg) bahan keperluan pengguna itu dan mendakwa mempunyai kuota 20,000 tan atau 20,000,000kg.

Berdasarkan kadar jualan itu, pemegang AP berkenaan mampu mengaut keuntungan sehingga RM3 juta, sekiranya dapat menjual semua kuota dimilikinya, sedangkan bayaran dikenakan kerajaan kepada pemohon yang mendapatkan AP adalah rendah.

“Kami ada AP dan kilang (di sebuah negeri di Utara Semenanjung Malaysia), tetapi sekarang hendak bagi habis kuota 20,000 tan.

“Kami caj dalam 12 hingga 15 sen bergantung kuantiti tuan hendak bawa masuk, minimum adalah satu tan (1,000kg),” katanya yang meminta pertemuan diaturkan bagi membincangkan secara lanjut urus niaga itu.

Sementara itu, dua pemegang AP daging yang dihubungi, menawarkan kadar jualan di antara 30 sehingga 65 sen bagi setiap kilogram daging yang diimport dan mendakwa kuota dimiliki tiada had.

Namun, kadar minimum ditetapkan adalah satu kontena yang beratnya di antara 30 hingga 40 tan, yang bermaksud kadar yang perlu dibayar sekitar RM9,000 hingga RM19,500 bagi setiap penghantaran bekalan daging.

BH tidak dapat menentukan kesahihan dakwaan semua pemegang AP yang dihubungi itu, sama ada permit import barangan keperluan yang ditawarkan mereka adalah sah atau sekadar modus operandi sindiket yang mendalangi penipuan secara dalam talian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad, ketika dihubungi, berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung penipuan penjualan AP barangan keperluan pengguna seperti yang dimaksudkan.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, menggesa kerajaan memantau kegiatan pengiklanan AP menerusi laman web dan media sosial kerana jika ia benar berlaku, kesannya membebankan pengguna.

Katanya, langkah pembanterasan perlu bagi mengelakkan AP mengimport makanan dijual dengan mudah sehingga menjejaskan pengguna serta menyebabkan kebergantungan import daripada negara tertentu sahaja, yang memberi kesan kepada harga barang terutama sumber makanan.

“Apa berlaku sekarang ini seolah-olah AP ini mudah dijual, kerajaan patut pantau dan tarik balik AP pihak yang menyalahgunakannya kerana memberi kesan buruk untuk jangka panjang, terutama sistem keselamatan makanan negara.

“Mereka yang menjual AP ini hanya mengambil untung atas angin, tetapi pengguna terpaksa menanggungnya kerana pengimport atau peniaga sudah pasti menaikkan harga berikutan menanggung pembayaran lain seperti pembelian AP,” katanya.

Mohd Yusof berkata, pihaknya secara konsisten menuntut AP dimansuhkan, sebaliknya dibuka kepada sesiapa sahaja yang berkemampuan untuk mengimport barangan, terutama bahan makanan supaya pengguna mempunyai banyak pilihan.

“Apabila dibuka kepada banyak pihak akan mewujudkan persaingan dan memberi banyak pilihan kepada pengguna, pada masa ini pilihan kurang kerana ada dalam kalangan pengimport yang mempunyai AP, cenderung membawa bahan makanan daripada negara tertentu yang harga mahal kerana kualitinya tinggi.

“Kalau ada daripada sumber negara lain yang kualitinya sederhana atau rendah, ia juga boleh dibawa masuk supaya pengguna ada pilihan sama ada ingin yang berkualiti tinggi, sederhana atau rendah,” katanya.

Berita Harian X