Selasa, 13 Ogos 2019 | 10:02pm
SYED Saleh (dua dari kiri) ketika melancarkan Kempen Kebersihan Masyair Maktab 80 di Mina. NSTP/Yusri Abdul Malek

Jemaah, petugas haji Malaysia di Mina, Madinah selamat

KUALA LUMPUR: Jemaah dan petugas haji Malaysia yang masih berada di Mina, Madinah berada dalam keadaan selamat, meskipun dilanda hujan lebat.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, ketika memaklumkan perkembangan semasa itu berkata hujan lebat dilaporkan berlaku pada jam 4 petang semalam (waktu tempatan) di kawasan perkhemahan Mina Muaisim.

Bagaimanapun, katanya, cuaca buruk berkenaan tidak menjejaskan keadaan keselamatan jemaah dan petugas haji Malaysia yang belum memulakan perjalanan ke Mekah selepas melakukan nafar awal.

“Adalah menjadi amalan apabila hujan lebat di kawasan perkhemahan, pihak berkuasa bomba Arab Saudi mengarahkan bekalan elektrik ditutup untuk mengelakkan insiden kejutan elektrik.

“Bekalan elektrik pulih sepenuhnya pada jam 7.10 malam semalam.

“Rata-rata kerosakan di khemah secara umumnya hanya pada permaidani yang basah di dalam khemah selepas dimasuki air hujan,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan viral di media sosial yang meminta semua pihak mendoakan jemaah haji kerana dikatakan terperangkap di dalam terowong untuk melakukan ibadat melontar.

Mesej viral berkenaan antara lain mendakwa seorang jemaah haji Malaysia meninggal dunia akibat sesak nafas.

Syed Saleh yang menafikan perkara itu berkata, tiada kecederaan dilaporkan berlaku terhadap jemaah dan petugas haji Malaysia susulan cuaca buruk terbabit.

Katanya, keadaan di Mina kembali pulih seperti sedia kala pada jam 8 malam semalam (waktu tempatan).

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihak muassasah Asia Tenggara menggantikan sebahagian permaidani dan mengedarkan plastik hitam sebagai alas.

“Jemaah haji Malaysia juga menggunakan tikar plastik yang dibekalkan semasa di Malaysia lagi sebagai alas.

“Jemaah haji turut bekerjasama membersihkan kawasan khemah yang terjejas secara bergotong-royong,” katanya.

Berikutan hujan lebat, Syed Saleh berkata, jadual melontar pada waktu petang ditangguhkan kepada jam 8.20 malam semalam (waktu tempatan).

Sebagai makluman, katanya, sebahagian jemaah haji Malaysia bertolak dari Mina ke Makkah selepas melakukan nafas awal.

5170 dibaca
Berita Harian X