Khamis, 8 Ogos 2019 | 6:25pm
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Ke-3 di Bangunan Perdana Putra. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Penggantian pekerja asing 4 subsektor dihenti 3 tahun lagi

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju menutup penggajian pekerja asing bagi subsektor perkhidmatan yang dibekukan sejak 2009.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran menerusi kenyataan bersama berkata, subsektor itu ialah dobi, tekstil, tukang gunting dan tukang emas.

Kedua-dua menteri itu menyatakan, keputusan itu dibuat sebagaimana dibentangkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Dalam hal ini, dasar semasa yang membenarkan penggantian pekerja asing bagi subsektor itu turut dihentikan dalam masa tiga tahun lagi secara berperingkat mulai tahun 2019 hingga 2021.

“Justifikasi penutupan adalah berdasarkan kepada keutamaan penggajian rakyat tempatan dan fokus kepada ekonomi yang lebih memberangsangkan,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, Muhyiddin dan Kulasegaran mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Ketiga, Bil 2 / 2019 di sini, semalam.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat turut memutuskan Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA), Kementerian Sumber Manusia melaksanakan kajian Ianjut bagi menentukan keperluan penggajian pekerja asing di bawah subsektor gudang darat.

Katanya, berdasarkan hasil kajian itu, kerajaan akan menentukan semula agensi bersesuaian sebagai Agensi Kawal Selia (AKS) bagi subsektor gudang darat.

“Mesyuarat juga memutuskan permohonan pekerja asing sebagai pemandu prime movers di Westports dan Pelabuhan Tanjung Pelepas dipertimbangkan mengikut prosedur sedia ada dengan mengambil kira keperluan sebenar syarikat.

“Pada masa depan, syarikat perlu mempertimbangkan faktor seperti kadar gaji, elaun dan insentif yang boleh menarik minat pekerja tempatan serta bergerak ke arah automasi dan mekanisasi,” katanya.

Kedua-dua kementerian juga bersetuju dengan cadangan Kementerian Kerja Raya (KKR) berhubung kadar yuran penilaian kompetensi kemahiran untuk pekerja asing sektor pembinaan di negara sumber iaitu RM750 per tred bagi Tred Biasa dan RM850 per tred bagi Tred Minyak dan Gas.

“Selain itu, kerajaan prihatin dengan masalah pengusaha sawah yang menanggung kos operasi lebih tinggi pada masa kini.

“Jadi, mesyuarat bersetuju meluaskan skop tempoh kemasukan pekerja asing di bawah Pas Lawatan (Kerja Sementara) PLKS Jangka Pendek untuk sektor pertanian khusus bagi tanaman padi untuk tempoh enam bulan,” katanya.

Berita Harian X