Khamis, 8 Ogos 2019 | 3:12pm
Ahli panel Bicara BH. Dari kiri, Shamsuddin Bardan, Dr Mohammad Shatar Sabran, Dr Afzanizam dan Pengacara Bicara BH, Sabaruddin di Balai Berita Bangsar, hari ini. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

SME jadi pemangkin wujudkan peluang pekerjaan

KUALA LUMPUR: Sektor perusahaan kecil dan sederhana (SME) boleh menjadi pemangkin utama kepada pengwujudan lebih banyak peluang pekerjaan yang boleh diisi graduan.

Justeru itu, Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam, Dr Afzanizam Abdul Rashid, berkata kerajaan boleh memberi fokus kepada pembangunan SME di Malaysia sebagai sebahagian usaha mewujudkan ekonomi dan perniagaan bentuk baharu.

Dengan itu katanya, lebih banyak peluang pekerjaan baharu akan dicipta menerusi perkembangan inovasi yang berupaya menghasilkan bentuk kerja baru, seiring perkembangan industri.

“Sektor SME perlu lebih diberi penekanan oleh kerajaan. SME jika dapat dikembangkan dengan baik dapat wujudkan peluang pekerjaan. Syarikat maju dia kurang gunakan tenaga buruh.

“Sektor SME saya nampak berpotensi serap tenaga buruh. Kerajaan boleh galakkan lagi bidang TVET (Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional). Graduan yang habis belajar, siswazah boleh hadiri kursus di IKBN (Institut Kemahiran Belia Negara) selama enam bulan untuk diberi pendedahan kemahiran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Bicara BH: Pengangguran Siswazah, Di Mana Silap, Apa Penyelesaian disiarkan menerusi Facebook Live BH, hari ini.

Turut diundang menjadi panel pada program itu yang dihoskan Sabaruddin Ahmad Sabri ialah Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran Ahmad Sabri serta Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan.

Afzanizam berkata, syarikat besar biasanya menumpukan perhatian kepada aspek produktiviti, mendorong pengambilan seseorang kakitangan itu dilakukan secara berhati-hati.

“Sebab itu, selain daripada faktor ilmu (pencapaian akademik) kena ambil kira ‘soft skill’, macam mana mahu bercakap dengan orang, perkara itu nampak enteng tapi ia penting kepada peluang pekerjaan itu sendiri,” katanya.

Beliau akui, ekonomi semasa sedikit mencabar apatah lagi faktor yang mempengaruhi sukar dikawal dan bersifat luaran.

“Pasaran kerjaya memang ada kaitan dengan prestasi ekonomi. Sekarang tidak menentu, disebabkan situasi (harga) komoditi dan perdagangan (tidak stabil). Tetapi pada masa sama, daripada segi peringkat perniagaan, ...landskap jelas sudah berubah. Jika dulu, bila kata bank saja ia berkait memberi perkhidmatan perbankan, tapi sekarang Apple pun sudah buat (jual) kredit kad,” katanya.

Beliau berkata, pertumbuhan ekonomi sekitar empat dan lima peratus yang direkodkan negara ketika ini sesuai dengan pasaran buruh dan modal.

“Sekarang ini kita bertemu pada sekitar (pertumbuhan) 4.8 hingga lima peratus, ini baik. Namun kita bukan saja mahukan pertumbuhan yang tinggi tapi mapan. Dalam keadaan semasa ini, ekonomi agak perlahan, dari sudut peluang pekerjaan agak mencabar sedikit,” katanya.

Berita Harian X