Khamis, 8 Ogos 2019 | 10:18am
PENTERNAK lembu sado, Ab Rahim Salleh bersama ‘Merah’ iaitu lembu ternakannya daripada baka Limousine, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tawang, Bachok. - Foto Hazira Ahmad Zaidi

'Merah' bernilai RM25,000 sedia dijual

BACHOK: “Saya sedia mengorbankan Merah jika ada yang sanggup membayar ribuan ringgit untuk satu bahagian (korban) atau RM25,000 seekor,” kata penternak lembu sado, Ab Rahim Salleh, 74.

Ab Rahim berkata, lembu sado peliharaannya itu adalah dari baka Limousine yang berusia tiga tahun setengah, dengan beratnya kini mencecah 1,300 kilogram.

“Saya sanggup melepaskannya kepada sesiapa saja yang sanggup membelinya sama ada untuk ibadah korban atau majlis keraian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tawang, di sini semalam.

Beliau menjelaskan Merah dibelinya daripada seorang penternak dan pembiak baka lembu berkenaan tiga tahun lalu pada harga RM7,000.

“Baka lembu itu memang terkenal dengan tabiat semulajadinya yang garang, namun pada masa yang sama, ia boleh menjadi manja dengan orang dikenalinya.

“Untuk ibadah korban, harga seekor lembu baka ini agak tinggi. Jika ada individu yang sanggup membayarnya, harga satu bahagian boleh mencecah antara RM2,000 hingga RM3,000.,” katanya.

Bagaimanapun, Ab Rahim menjelaskan permintaan terhadap lembu baka `mewah’ itu tidak banyak di negeri ini kerana harganya yang mahal, sebaliknya menjadi pilihan penduduk dari luar Kelantan, khususnya Terengganu.

“Namun, tidak mustahil jika satu hari nanti, lembu baka ini akan menjadi pilihan umat Islam untuk dibuat korban berdasarkan fizikalnya yang besar dan dagingnya yang banyak,” katanya.

Di Kelantan, umat Islam kebiasaannya memilih lembu tempatan yang beratnya antara 100 kilogram ke 300 kilogram untuk ibadah korban.

Selain saiznya yang sederhana, harganya juga lebih murah antara RM3,000 hingga RM5,000 seekor bergantung kepada harga pasaran, sekali gus menjadikan harga satu bahagian korban antara RM600 hingga RM800.

Beliau yang menternak lembu sejak lebih 20 tahun lalu, berkata Merah adalah lembu baka Limousine pertama dibelinya bagi tujuan penternakan dan pembiakan.

“Dua tahun lalu, saya menjual seekor lembu daripada baka Limousine seberat 1,200 kilogram kepada peniaga daging dari Tok Uban, Pasir Mas dengan harga RM17,500.

“Kini, selain mempunyai lembu baka Limousine, saya juga menternak empat ekor lembu baka Charolais yang berumur usia satu hingga tiga tahun,” katanya yang turut dibantu oleh anak bongsu, Mohd Faizul Ab Rahim, 28.

Berita Harian X