Selasa, 6 Ogos 2019 | 7:29pm
MENTERI Pelancongan, Datuk Mohammadin Ketapi. - Foto Luqman Hakim Zubir
MENTERI Pelancongan, Datuk Mohammadin Ketapi. - Foto Luqman Hakim Zubir

Kempen TMM2020 diperhebat

PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan sedang memperhebatkan promosi Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) di dalam dan luar negara, kata Menterinya, Datuk Mohammadin Ketapi.

.

Katanya, pihaknya akan mengadakan promosi sehingga hujung tahun di China, Bosnia, India dan United Kingdom (UK) serta di 38 pejabat Tourism Malaysia di luar negara.

Serentak itu, beliau menafikan dakwaan mana-mana pihak yang merasakan kurang promosi dijalankan bagi menjayakan kempen berkenaan.

“Promosi bukan tiada atau kurang, malah semakin bertambah dan akan diadakan menerusi ‘Travel Mart’ seperti di London, pada November depan melalui World Travel Market (WTM),” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Raja Azmi Raja Nazuddin di pejabatnya di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof.

Mengenai pertemuan itu, Mohamaddin berkata MAHB memaklumkan sedang dalam perbincangan dengan beberapa syarikat penerbangan luar negara yang berminat untuk beroperasi di negara ini.

Katanya, pihaknya turut meletakkan Logo TMM2020 di 37 kapal terbang milik Malaysia Airlines, AirAsia, Malindo Air dan Firefly bagi tujuan promosi dalam dan luar negara.

Berita Harian X