Selasa, 6 Ogos 2019 | 3:30pm
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub. - NSTP/Salhani Ibrahim

MADA, KADA mula pelan tindakan dasar penyatuan tanah sawah

SERDANG: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), sudah memulakan pelan tindakan bagi melaksanakan dasar penyatuan tanah sawah untuk meningkatkan pendapatan pesawah.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, berkata dasar itu dilaksanakan melalui beberapa model penyatuan tanah, antaranya estet padi yang akan menghasilkan pertanian berskala besar.

“Pemodenan sektor padi mesti seiring dengan perkembangan semasa kerana rata-rata pesawah memiliki tanah berkeluasan antara satu hingga dua hektar saja.

“Melalui dasar penyatuan tanah, tanah persendirian yang berkeluasan antara 10 hingga 50 hektar, jika ada sektor swasta mahu masuk (sertai bidang penanaman padi), kita boleh buka sehingga 100 hingga 1,000 hektar atau mungkin lebih lagi.

“Ini akan memajukan tanah pesawah kita, sekali gus memberikan pulangan yang lebih lumayan kepada golongan itu (pesawah) dan pemain industri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Pesawah Padi Kebangsaan (PPPK) 2019 di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Aini Ideris.

Sebelum ini, Salahuddin dilaporkan berkata, kementeriannya mengenal pasti empat model yang sesuai untuk diterapkan bagi menjayakan dasar penyatuan tanah sawah.

Model berkenaan termasuk memberi tumpuan kepada pesawah yang berupaya mengurus tanah mereka seluas lima hektar dengan cemerlang dan mampu meraih pendapatan sehingga RM4,000 sebulan.

Menggalakkan usahawan muda menyertai sektor tanaman padi yang membabitkan sawah seluas 50 hektar dengan pendapatan yang diunjurkan adalah RM15,000 sebulan serta memberikan kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau sektor swasta swasta sawah berkapasiti 200 hektar, 500 hektar sehingga 1,000 hektar untuk diusahakan.

Salahuddin berkata, kementeriannya akan memantau perkembangan pelaksanaan model penyatuan tanah, selain akan turut membantu kawasan padi luar jelapang.

“Jika mereka (pesawah padi luar jelapang) memerlukan bantuan, kita akan lihat jika ada koperasi, PPK atau individu yang berminat. Ini penting bagi mendidik pesawah dalam jangka masa panjang supaya bantuan lebih banyak dapat diberikan di peringkat output,” katanya.

Melalui beberapa pendekatan yang dilaksanakan seperti pengenalan benih baharu dan rantaian nilai yang diperkemas, beliau yakin sasaran untuk mencapai pengeluaran padi tahunan antara lapan hingga 12 tan sehektar akan tercapai dalam masa lima tahun, berbanding empat hingga lima tan sehektar ketika ini.

Berhubung cadangan untuk petani dan nelayan membuat caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Salahuddin berkata, syarikat insurans sedang mendapatkan data berkaitan berhubung perkara itu.

“Ia seperti PERKESO tetapi ada model tertentu yang syarikat insurans boleh tawarkan. (Caruman) PERKESO juga antara yang turut dibincangkan,” katanya.

Berita Harian X