Isnin, 5 Ogos 2019 | 12:46pm
KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bertanya khabar kepada pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan di jalan susur dari pintu utama Istana Negara ke Jalan Tuanku Abdul Halim. Baginda kemudian meneruskan perjalanan ke Muzium Diraja untuk merasmikan Pameran Raja Kita. - Foto Instagram Istana Negara

Agong turun kenderaan tanya mangsa kemalangan

KUALA LUMPUR: Keprihatinan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, terserlah apabila baginda turun dari kenderaan rasmi untuk memeriksa keadaan dan bertanya khabar mangsa kemalangan berhampiran jalan susur dari pintu utama Istana Negara ke Jalan Tuanku Abdul Halim, pagi ini.

Perkara itu dikongsikan melalui paparan laman sosial rasmi Istana Negara kira-kira jam 11.40 pagi dan setakat jam 12 tengah hari, ia mendapat 2,000 ‘like’, 11,627 tontonan dan 154 komen.

Berdasarkan perkongsian itu, Al-Sultan Abdullah dilaporkan dalam perjalanan ke Muzium Diraja untuk merasmikan Pameran Raja Kita.

Pada 26 Jun lalu, baginda turut membantu mangsa kemalangan di Putrajaya ketika dalam perjalanan menghadiri Mesyuarat Pra-Kabinet dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di Istana Melawati.

Berita Harian X