Sabtu, 3 Ogos 2019 | 10:22pm
TUN Dr Mahathir Mohamad (tengah) hadir pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), di Dataran Pahlawan, Banda Hilir. Hadirm sama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo (kanan). NSTP/Muhammad Zuhairi Zuber.

Ancaman pecah-belahkan perpaduan matangkan rakyat - Dr Mahathir

MELAKA: Rakyat Malaysia semakin matang menilai dan membuat pendirian apabila berdepan ancaman pihak tertentu yang mahu memecah-belahkan perpaduan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri menegaskan keadaan itu sekali gus menjadi pendorong kepada hasrat kerajaan memajukan negara supaya kemakmuran dicapai dapat dinikmati bersama.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif sudah dilaksanakan kerajaan dalam mencapai matlamat kemakmuran bersama seperti mana diumumkan sempena sambutan ulang tahun pertama Malaysia Baharu.

“Ia termasuk langkah memulihkan integriti dan urus tadbir perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk kepentingan ekonomi negara, selain Program Transformasi Felda, Pemulihan Tabung Haji, Pelancaran Dasar Keusahawanan Negara 2030 dan Program Pembangunan Wilayah.

“Dalam merealisasikan inisiatif ini, kita semua harus memberi sokongan dan kepercayaan penuh kepada kerajaan untuk menjalankan tugas yang diamanahkan.

“Marilah sama-sama kita jayakan usaha ini dan menghayati tema sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini iaitu Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih,” katanya ketika berucap melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 di padang Dataran Pahlawan, Bandar Hilir, di sini malam ini.

Hadir sama Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari; Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Sambutan Bulan Kebangsaan dan Program Kibar Jalur Gemilang 2019 yang bertemakan Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih dihadiri kira-kira 30,000 pengunjung yang membanjiri padang Dataran Pahlawan sejak jam 5 petang tadi.

Dr Mahathir ketika mengulas lanjut, berkata rakyat harus bangkit bersama dengan penuh azam dan tekad untuk membantu kerajaan mencorakkan kemakmuran negara.

Beliau berkata, falsafah dan kerangka dalam membina sebuah negara berasaskan kepada penyatuan jitu masyarakat haruslah dijadikan sebagai asas perjuangan yang konsisten.

“Justeru, soal persefahaman dan penyatuan kaum akan terus dijadikan sebagai agenda penting kerajaan. Amalan nilai murni dalam kehidupan dan menjauhi amalan buruk juga perlu terus diterapkan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini,” katanya.

Katanya, sejarah negara sejak berdekad lalu harus dijadikan panduan dalam membentuk dan menentukan hala tuju negara, sekali gus menjadikan rakyat lebih bertanggungjawab kerana imej kecemerlangan negara banyak bergantung kepada kemampuan rakyat dalam mendepani segala cabaran sebelum meraih kejayaan.

Justeru, beliau menyeru rakyat supaya lebih fokus kepada tahap kemajuan yang lebih cemerlang dengan memperbaiki segala kekurangan dan kelemahan sedia ada supaya ia menjadi garis panduan dan ikutan generasi masa hadapan.

“Semua ini mampu digalas apabila kita ada kesedaran dan keinsafan dalam diri terhadap liku-liku perjalanan negara sepanjang dekad yang kita lalui,” katanya.

Sempena Hari Kebangsaan tahun ini, Dr Mahathir berkata, sambutan itu memberi kesedaran kepada rakyat betapa pentingnya semangat patriotisme yang menjadi antara ciri penting pembentukan sebuah negara berbilang kaum, agama dan budaya supaya dapat hidup harmoni.

“Jalur Gemilang melambangkan kesetiaan, kesatuan dan patriotisme. Oleh itu adalah penting untuk kita menanam semangat dan nilai nasionalisme dan patriotisme dalam diri.

“Justeru, marilah kita bersama menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan ini dengan mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, bangunan pejabat, premis perniagaan bahkan di kenderaan untuk menjadikan ia lebih meriah,” katanya.

Berita Harian X