Sabtu, 3 Ogos 2019 | 3:43pm
Bee Yin (dua dari kanan) melawat pameran selepas merasmikan Karnival Minggu Sains Negara Peringkat Negeri Selangor 2019 di Shah Alam, hari ini. - Foto BERNAMA

EXCO negeri diarah ketuai sendiri operasi bersepadu - Bee Yin

SHAH ALAM: Semua EXCO kerajaan negeri yang memegang portfolio alam sekitar diarahkan untuk mengetuai sendiri operasi bersepadu memantau keadaan sungai dan kilang haram di negeri masing-masing.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin, berkata usaha menjaga alam sekitar tidak seharusnya diletakkan di bahu beliau semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama EXCO di peringkat negeri.

“Semalam saya adakan mesyuarat dengan EXCO kerajaan negeri berkaitan. Saya katakan kepada mereka adalah mustahil untuk saya turun di semua negeri bagi mengetuai operasi bersepadu ini.

“Jadi saya akan turunkan kuasa sebagai menteri kepada EXCO berkaitan untuk menjalankan operasi bersepadu. Selain itu, agensi Kerajaan Persekutuan juga akan memberi sokongan kepada EXCO dalam setiap operasi yang dijalankan.

“Dalam mesyuarat ini juga, kita bentangkan kertas kerja dan berkongsi Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika menjalankan operasi bersepadu,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan Minggu Sains Negara peringkat Selangor di Perpustakaan Awam Selangor di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Bee Yin berkata, EXCO kerajaan negeri yang memegang portfolio alam sekitar perlu menyahut cabaran ini dalam usaha memulihara sungai yang tercemar dan menambah baik kelestarian alam sekitar.

“Kita perlu melihat ke depan dan bersama-sama berusaha menjaga sungai dan alam sekitar. Ini adalah komitmen kementerian saya dan kerajaan,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar, menggesa semua kerajaan negeri mengambil serius isu pencemaran sungai.

Beliau berkata, ini kerana isu pencemaran sungai bukan perkara baharu namun jika ia masih tidak diendahkan, negara bakal berhadapan masalah kekurangan sumber air bersih ketika menghadapi musim kemarau.

Beliau berkata, kementeriannya juga akan menjalankan kajian sepenuhnya berkaitan sungai dan pencemaran yang mana dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), satu peruntukan untuk memelihara sungai termasuk penghasilan air terawat dan air mentah dirancang.

Berita Harian X