Jumaat, 2 Ogos 2019 | 11:38pm
Gobind Singh (tengah) mengibarkan Jalur Gemilang ketika menghadiri Raptai Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019. - Foto BERNAMA
Gobind Singh (tengah) mengibarkan Jalur Gemilang ketika menghadiri Raptai Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019. - Foto BERNAMA

Sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini amat bermakna - Gobind

MELAKA: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, berkata sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang menjadi amat bermakna pada tahun ini kerana ia bermula di Melaka.

Beliau berkata ini memandangkan negeri berkenaan pernah menyaksikan Perdana Menteri pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj mengumumkan tarikh kemerdekaan negara.

Beliau berkata untuk itu, Melaka dipilih sebagai lokasi Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, esok.

“Melaka jadi tempat pilihan kita kerana kalau ingat kembali sejarah Tunku Abdul Rahman, bila kembali (ke tanah air dari London) dengan berita kita akan capai kemerdekaan, (diumumkan tarikhnya) di Melaka.

“Ini pentingnya kita pilih Melaka tempat kita lancar Bulan Kebangsaan dan kempen Jalur Gemilang tahun ini, dan ia amat bermakna untuk kita mulakan acara Bulan Kebangsaan ini di Melaka,” katanya di sini, malam ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meluangkan masa selama lebih satu jam bagi meninjau persiapan sambutan pelancaran itu yang akan turut dihadiri Ketua Menteri, Adly Zahari.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Suriani Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Roselindawati Abdul Rahman.

Mengenai persiapan pelancaran, Gobind yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Bulan Kebangsaan 2019 menzahirkan rasa berpuas hati dan menyifatkan esok adalah hari yang penting buat semua.

“Semua berjalan lancar di mana kita akan lancar kempen Jalur Gemilang dan ini satu permulaan sambutan Bulan Kebangsaan, dan selepas ini kita adakan acara sambutan kemerdekaan kita pada 31 Ogos di Putrajaya dan 16 September iaitu Hari Malaysia di Kuching, Sarawak.

“Esok permulaan rai bulan kebangsaan. Saya sangat berpuas hati dan saya lihat banyak yang telah dilaksanakan dan saya ucap terima kasih pada semua yang jayakan projek ini,” katanya.

Gobind dalam pada itu menyeru orang ramai supaya hadir bersama-sama meraikan majlis pelancaran berkenaan esok.

“Saya minta seluruh rakyat di kawasan Melaka dan sekitar, yang dekat jauh, bersama-sama kita menjayakan acara ini,” katanya sambil menyasarkan kehadiran lebih 10,000 pengunjung.

Sementara itu, Gobind ketika ditanya mengenai tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih' semasa berlintas langsung bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini berkata:

“Kita mengatakan ini adalah Malaysia Baharu dan satu lagi perkara yang kita beri penekanan adalah bagaimana kita pastikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersih daripada rasuah.

“Dalam satu tahun yang pertama, kita lihat bagaimana kita telah melaksanakan beberapa perkara yang penting, yang menunjukkan bahawa kami komited kepada yang disebut sebagai Malaysia Bersih. Jadi semua ahli Parlimen misalnya mempromosi deklarasi berkenaan, kemudian kes dikatakan berlakunya rasuah dan sebagainya tindakan telah pun diambil.

“Ia sangat penting kalau kita ingin wujudkan satu Malaysia yang baharu… saya rasa soal integriti sangat penting,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X