X
Jumaat, 2 Ogos 2019 | 5:33pm
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dikerumuni oleh wakil media selepas menghadiri sesi libat urus penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bersama kerajaan negeri Pulau Pinang di sebuah hotel hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dikerumuni oleh wakil media selepas menghadiri sesi libat urus penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bersama kerajaan negeri Pulau Pinang di sebuah hotel hari ini. - Foto BERNAMA

Sokong PM untuk kestabilan pentadbiran, ekonomi - Azmin

GEORGETOWN: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, meminta semua pihak berhenti membuat spekulasi berhubung sokongannya terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR, berkata sokongannya terhadap Perdana Menteri adalah bagi mewujudkan suasana konsisten dalam pentadbiran ke arah mewujudkan kestabilan negara.

Katanya, ia juga bukan menggambarkan beliau tidak menyokong kepemimpinan Anwar, selain menegaskan tumpuan seharusnya diberikan untuk memperkasa ekonomi negara demi kepentingan rakyat.

“Kenyataan saya jelas mengenai ekonomi sebab kestabilan politik penting untuk menarik pelaburan baharu dan peluang pekerjaan.

“Ini penting untuk Dr Mahathir meneruskan teruskan kepemimpinan beliau kerana rakyat kini dalam kesusahan dan kita perlu bekerjasama mengatasinya.

“Ini untuk mewujudkan konsistensi dan kestabilan politik sehingga kita buat keputusan pada pilihan raya seterusnya.

“Itu sahaja dan saya tak berhasrat menyinggung mana-mana individu kerana bagi saya tumpuan kepada kementerian dan ekonomi lebih penting.

“Saya juga sedar rakyat muak dengan ‘political fatigue’ kerana baru setahun diberikan mandat tetapi sudah bincang perkara politik. Bagi saya, ini tak sihat... kita sepatutnya terus bekerja dan menguntungkan rakyat,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Selasa lalu, Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak, dipetik berkata sokongan PAS dan UMNO terhadap kepemimpinan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal membuktikan keyakinan rakyat terhadap negarawan ulung negara itu.

Beliau berkata, sokongan yang dinyatakan menerusi kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu menjelaskan dukungan bipartisan terhadap Dr Mahathir.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin menafikan dakwaan beliau kerap tidak menyertai aktiviti atau mesyuarat PKR, selain menegaskan keutamaan kepada parti dan negara diberikan secara sama rata.

“Saya ada sertai (aktiviti atau mesyuarat PKR) dan malam ini akan bertemu dengan kepemimpinan negeri. Tanggungjawab dalam parti penting, tetapi kepada negara lebih penting.

“Kita (Pakatan Harapan) diberikan mandat untuk mentadbir negara pada Mei tahun lalu dan biarkan kita bekerja dahulu kerana rakyat mahu lihat hasilnya. Saya akui ada beberapa isu diketengahkan ahli parti tetapi saya yakin ia dapat diselesaikan menerusi kebijaksanaan pemimpin PKR,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau menafikan sering mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir bagi membincangkan isu berkaitan politik.

Katanya, setiap perjumpaan bersama Dr Mahathir adalah bagi membincangkan isu berkaitan kementerian dan ekonomi negara, selain fokus diberikan kepada penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

“Saya bertemu dengan Dr Mahathir dari semasa ke semasa bagi membincangkan isu negara, tambahan saya ada mempengerusikan beberapa suruhanjaya membabitkan pelbagai negara.

“Saya terlalu sibuk dengan pelbagai perkara dan tiada masa untuk berbincang perihal politik dengan Perdana Menteri,” katanya.

Berita Harian X