Jumaat, 2 Ogos 2019 | 3:25pm
Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Zunnur Al Shafiq

Kerajaan perlu hantar aset bantu padam kebakaran hutan

KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu yang melanda negara perlu ditangani secara komprehensif oleh semua pihak termasuk meningkatkan kerjasama dengan negara jiran bagi menangani kebakaran hutan.

Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kerajaan harus menghantar pasukan dan asetnya bagi membantu memadamkan kebakaran hutan di negara berkenaan yang menjadi punca berlaku jerebu.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebagai contoh, mempunyai pengalaman luas dalam menangani kebakaran hutan terutama di kawasan hutan bakau di Pahang dan Johor yang menjadi kering serta mudah terbakar pada musim panas.

“Selain JBPM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga memiliki aset sesuai bagi membantu memadam kebakaran hutan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kebakaran hutan di Riau, Indonesia ketika ini dilaporkan semakin meruncing apabila hampir 6,000 petugas pengurusan bencana digerakkan Kerajaan Indonesia.

Selain Riau, kebakaran hutan turut dikesan di lima wilayah lain termasuk Sumatera Selatan, Jambi, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan.

Sementara itu, Lam Thye berkata, pihak berkuasa perlu meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang bagi memastikan tiada pembakaran terbuka berlaku dalam negara.

“Berdasarkan pemerhatian saya, pembakaran terbuka masih berlaku terutama di kawasan pembinaan. Saya sendiri pernah membuat laporan mengenai pembakaran terbuka di Pandan Jaya, namun masalah itu masih belum selesai.

“Orang ramai yang melihat sebarang kebakaran atau pembakaran terbuka seharusnya menghubungi pihak berkuasa terutama JBPM dan Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya.

Berita Harian X