Jumaat, 2 Ogos 2019 | 11:23am
YANG Di Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob (dua, kiri) mengaminkan doa pada Majlis Zikir Asma'ul Husna dan Doa Sayangi Malaysiaku sempena Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang dan Sambutan Hari Kebangsaan di Masjid Cina Kerubong di sini malam ini. Turut hadir Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari (kiri) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Hasim Hassan (tiga, kiri). - Foto BERNAMA
YANG Di Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob (dua, kiri) mengaminkan doa pada Majlis Zikir Asma'ul Husna dan Doa Sayangi Malaysiaku sempena Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang dan Sambutan Hari Kebangsaan di Masjid Cina Kerubong di sini malam ini. Turut hadir Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari (kiri) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Hasim Hassan (tiga, kiri). - Foto BERNAMA

Persiapan majlis giat dilakukan, berjalan lancar - KM Melaka

MELAKA: Persiapan untuk Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 yang akan berlangsung di Dataran Pahlawan, Banda Hilir, di sini, malam esok, sedang giat dilakukan dan berjalan lancar.

Ketua Menteri, Adly Zahari, berkata persiapan majlis itu yang dijadual dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mendapat kerjasama dan komitmen pelbagai agensi kerajaan, termasuk Jabatan Penerangan serta agensi kerajaan negeri.

Beliau berkata, sebanyak 25 ruang pameran disediakan sepanjang program tiga hari itu bagi memudahkan maklumat mengenai program dan inisiatif kerajaan disalurkan kepada rakyat.

“Saya sudah meninjau persiapan dan mendapatkan maklumat mengenai perjalanan program yang bakal berlangsung, terutama acara kemuncak malam perasmian. Melaka sudah bersedia menjadi tuan rumah dan menjayakan acara kali ini.

“Pemilihan Melaka kerana sejarah negeri dan Malaysia bermula di sini. Ia amat penting bagi menerapkan semangat kemerdekaan pada generasi muda, terutama dalam era Malaysia Baharu, iaitu bukan kita melupakan sejarah tetapi menjiwai sejarah itu,” katanya ketika ditemui Bernama selepas meninjau persiapan majlis, di sini, lewat malam tadi.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Penerangan Malaysia, Roselindawati Abdul Rahman, dan Pengarah Jabatan Penerangan Melaka, Mohd Rizal Hashim.

Pelbagai acara menarik dirancang bermula hari ini hingga 4 Ogos, termasuk program keagamaan, Konvoi Kembara Jalur Gemilang, pameran ‘Caring Bridge’, karnival trak makanan dan jualan My Best Buy oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Raptai pelancaran dijadualkan berlangsung pada jam 8 malam ini dengan beberapa khemah, termasuk khemah VIP dan VVIP serta pentas persembahan, sudah siap dipasang, setakat ini.

Pagi esok, program dimulakan dengan Larian Merdeka dan senamrobik, manakala Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 diadakan pada sebelah malam, diikuti pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang, konsert ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ yang menampilkan persembahan artis tanah air serta pertunjukan bunga api. – BERNAMA

Berita Harian X