Khamis, 1 Ogos 2019 | 4:15pm
PEMANDANGAN udara di sekitar Kuala Lumpur kelihatan berjerebu. Menurut Indeks Pencemaran Udara (IPU) diterbitkan oleh Jabatan Alam Sekitar melalui laman sesawang Air Pollutant Index of Malaysia (APIMS) mencatatkan bacaan 85 IPU iaitu tahap sederhana pada jam 2 petang. NSTP/Hafiz Sohaimi

Jerebu: Klang, Rompin catat IPU tidak sihat

KUALA LUMPUR: Klang dan Rompin mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat jam 3 petang tadi susulan kebakaran hutan di Sumatera yang dipercayai membawa jerebu ke Semenanjung.

Berdasarkan bacaan terkini IPU di laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), kawasan Johan Setia Klang di Selangor dan Rompin, Pahang masing-masing mencatat bacaan IPU tertinggi iaitu 110 dan 103.

Berdasarkan peta taburan IPU di laman web berkenaan, sebanyak 62 stesen JAS di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU sederhana.

Empat lagi stesen mencatat bacaan baik iaitu di Sandakan dan Tawau, Sabah dengan bacaan IPU 37 dan 35 manakala Alor Setar, Kedah (50) serta Seberang Perai, Pulau Pinang (49).

Bacaan IPU 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, antara 51 dan 100 (sederhana), antara 101 dan 200 (tidak sihat), antara 201 dan 300 (amat tidak sihat) dan lebih 301 (berbahaya).

Sementara itu, JAS dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sudah mengambil langkah mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka dengan meningkatkan pemantauan serta rondaan mencegah kebakaran terbuka.

“JAS turut bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi mengawal kes kebakaran yang berlaku selain sentiasa memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa untuk tindakan selanjutnya.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan mendapatkan nasihat kesihatan dan mengambil langkah pencegahan semasa jerebu,” katanya.

Untuk mengetahui bacaan IPU, orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my. Bacaan IPU turut dipaparkan dalam tempoh setiap jam.

Media sebelum ini melaporkan negara dijangka dilanda jerebu bermula hari ini disebabkan kebakaran hutan yang di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia.

Berita Harian X