Khamis, 1 Ogos 2019 | 3:44pm

P Pinang mohon RM10b daripada Kerajaan Pusat biayai PIP

GEORGETOWN: Pulau Pinang akan menghantar permohonan rasmi kepada Kerajaan Pusat bagi merayu dana RM10 bilion untuk membiayai sebahagian Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata ketika ini kerajaan negeri masih menyemak beberapa fakta lain sebelum ia diserahkan terus kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, petang ini.

“Urusetia sedang menyemak beberapa butiran lagi dan memasukkan fakta penuh, dengan menggunakan bahasa rayuan.

“Dalam surat itu, kita minta RM10 bilion kepada Perdana Menteri dan berharap ia dipertimbangkan,” katanya pada sidang media di Pejabat Ketua Menteri di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, hari ini.

Bulan lalu, Kon Yeow memaklumkan kerajaan negeri sedia mempertimbangkan semula saiz projek tambakan laut di selatan Pulau Pinang (PSR) jika mendapat dana daripada Kerajaan Pusat untuk membiayai dua projek PIP.

Dua projek itu adalah pembinaan projek transit aliran ringan (LRT) dan Lebuhraya Pan Island Link (PIL) yang dianggarkan bernilai RM20 bilion.

Sebelum ini, kerajaan negeri bercadang menjalankan projek PSR membabitkan pembinaan tiga pulau buatan dengan keluasan lebih 2,600 hektar untuk membiayai PIP, dianggar bernilai RM49 bilion.

Projek mega itu bagaimanapun mendapat tentangan pelbagai pihak dengan golongan nelayan tradisi di negeri ini dikatakan akan paling teruk terjejas.

Chow Kon Yeow pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong
Chow Kon Yeow pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong
Berita Harian X