Selasa, 30 Julai 2019 | 10:34pm

EKSKLUSIF: Tawaran harga menarik tanah Kampung Baru

KUALA LUMPUR: Kerajaan bakal mengemukakan tawaran harga menarik untuk membeli tanah milik penduduk di Kampung Baru dalam pertemuan yang akan diadakan pada September ini.

Tawaran pembelian itu bagaimanapun, hanya membabitkan pemilik tanah terletak dalam kawasan seluas 89 hektar membabitkan 879 lot yang diwartakan sebagai kawasan Malay Agricultural Settlement (MAS).

Perjumpaan dijadual diadakan di Dewan FELDA di Jalan Maktab, di sini pada 21 September itu dijangka turut dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB), Zulkurnain Hassan, berkata pengumuman mengenai harga itu akan dibuat sendiri kerajaan pada hari berkenaan.

Bagaimanapun, Zulkurnain enggan mendedahkan jumlah sebenar harga ditawarkan kerajaan untuk membeli tanah di kampung tradisional itu dan hanya berkata, nilai akan ditawarkan amat menarik.

Berdasarkan semakan di internet, harga transaksi jual beli tanah di Kampung Baru ketika ini adalah bermula daripada RM300 kaki persegi (kps) sehingga RM800 kps.

“Setakat ini, kita positif pemilik akan bersetuju dengan tawaran dikemukakan kerajaan ini. Ia berdasarkan tinjauan yang kita buat sebelum ini, biarpun dapatan sedikit longgar.

“Kita pernah menghantar surat kepada lebih 5,700 pemilik tanah meminta pandangan mereka mengenai pembangunan semula Kampung Baru. Daripada jumlah itu , kita hanya menerima kembali 1,356 surat jawapan dan daripada jumlah itu, 88 peratus atau 1,193 bersetuju dengan cadangan pembangunan semula.

“Selain itu, kita juga pernah berjumpa dan bertanya kepada ahli PKB dan ahli majlis penasihat kita, kebanyakannya berkata tawaran dikemukakan kerajaan adalah sesuatu yang positif,” katanya ketika ditemui BH, di pejabat PKB di sini, baru-baru ini.

PKB yang ditubuhkan pada 1 April 2012 adalah agensi dipertanggungjawabkan sebagai penyelaras, pemudah cara dan penggerak utama dalam pembangunan semula Kampung Baru.

Secara keseluruhan, Kampung Baru mempunyai keluasan 121 hektar, termasuk kawasan segi tiga emas seluas 89 hektar yang diwartakan sebagai kawasan MAS.


KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB), Zulkurnain Hassan

Bakinya, 32 hektar berada di luar MAS, merangkumi kawasan Raja Bot, kawasan perumahan PKNS Sungai Baru, flat PKNS Jalan Tun Razak, flat PKNS 17 Tingkat dan Wisma PERKESO.

Penempatan kecil di tengah bandar raya ini mempunyai 1,346 lot tanah dengan 879 lot berada dalam kawasan MAS, manakala bakinya (467 lot) termasuk kawasan Chow Kit di luar kawasan MAS.

Mengulas lanjut, Zulkurnain berkata, pihaknya akan membuat hebahan menjemput pemilik tanah terbabit seawal bulan depan, selain akan turut menyiarkannya dalam akhbar.

Katanya, untuk sesi pertemuan dengan penduduk kali ini, PKB mahu memastikan hanya pemilik tanah berdaftar dengan agensi itu saja akan hadir dan bukan pihak lain yang tidak mempunyai kaitan.

“Mereka yang tidak berdaftar boleh hadir, tetapi perlu membawa bukti pemilikan tanah untuk ditunjukkan kepada kita pada hari itu nanti.

“Kita juga akan menjemput syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat berteraskan Melayu untuk turut serta menghadiri perjumpaan ini kelak.

“Perdana Menteri bersetuju hadir dan berucap bagi menunjukkan komitmen kerajaan dalam membangunkan semula Kampung Baru,” katanya.

Zulkurnain berkata, dalam perjumpaan itu nanti, kerajaan akan mengemukakan tawaran kepada pemilik tanah mengenai pilihan yang mereka mahukan dalam pembangunan semula kampung itu.

Beliau berkata, antaranya jika mereka bersetuju menjual tanah, kerajaan akan menawarkan sama ada dibayar tunai sepenuhnya atau diganti dalam bentuk hartanah.

“Kita memang mengalu-alukan mereka mengambil hartanah kerana hasrat kita, apabila kawasan ini dibangunkan semula, pemilik asal tanah ini tidak hilang,” katanya.

“Kita akan fikirkan kaedah bagaimana menarik mereka ini memiliki kembali hartanah dalam Kampung Baru, mungkin dalam bentuk insentif tertentu yang kita cadangkan kepada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, jika tawaran dibuat kerajaan itu menerima persetujuan ramai, kerajaan akan beralih kepada fasa mencari pembiayaan yang mana terdapat beberapa opsyen.

Katanya, antaranya menerusi penerbitan sukuk, pembentukan konsortium dalam kalangan GLC, pelaburan asing atau kerajaan sendiri memperuntukkan geran khas membeli tanah ini yang mana pilihan terakhir ini amat sukar dilakukan memandangkan kekangan kewangan dihadapi kerajaan masa ini.

Berita Harian X