Selasa, 30 Julai 2019 | 11:58am

Kerajaan tingkat kesejahteraan rakyat - PM

KUALA LUMPUR: Kemakmuran bersama rakyat menjadi teras komitmen kerajaan yang diterajui parti Pakatan Harapan (PH) dalam merencana program dan dasar bagi merealisasikan Malaysia sebagai sebuah negara maju, bermaruah dan merdeka.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata walaupun baru memegang tampuk pemerintahan kira-kira setahun, kerajaan menunjukkan komitmen yang tinggi dan berhasil dalam banyak perkara mengambil kira kedudukan kewangan negara yang diwarisi sebelumnya.

“Dalam hal ini, patik akan terus memastikan jentera Kerajaan Tuanku tidak berpeluk tubuh dan berpuas hati dengan pencapaian-pencapaian yang telah dicapai setakat ini.

“Usaha-usaha akan terus dilipat ganda untuk mengembalikan Malaysia menjadi antara paksi ekonomi penting di Asia,” katanya ketika menyembahkan ucapan tahniah dan taat setia atas pertabalan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara hari ini.

Dr Mahathir yang mewakili seluruh rakyat negara ini, turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskadariah sebagai Raja Permaisuri Agong.

Dr Mahathir turut merakamkan junjungan kasih kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, sepanjang pemerintahan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 sehingga 6 Januari lalu.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mendengar ucapan tahniah dan ikrar taat setia kerajaan dan rakyat Malaysia yang dipersembahkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sempena istiadat pertabalan baginda di Istana Negara hari ini. - Foto BERNAMA

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mendengar ucapan tahniah dan ikrar taat setia kerajaan dan rakyat Malaysia yang dipersembahkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sempena istiadat pertabalan baginda di Istana Negara hari ini. - Foto BERNAMA

Dalam ucapannya, Dr Mahathir memaklumkan bahawa pertumbuhan ekonomi negara masih berterusan dan inisiatif-inisiatif untuk membina semula negara supaya menjadi lebih maju terus giat dilaksanakan.

Katanya, walaupun dunia kini dilanda ketidaktentuan ekonomi dan pergolakan geopolitik, namun usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan telah memberi keyakinan kepada rakyat bahawa negara mampu untuk menghadapi cabaran-cabaran itu sekali gus meminimumkan kesan buruk yang mungkin dihadapi.

Perdana menteri berkata, pembangunan negara tidak akan bermakna jika terdapat rakyat yang masih hidup dalam kesusahan dan terpinggir daripada limpahan pembangunan, justeru kerajaan akan terus berusaha dengan lebih gigih untuk meningkatkan program-program kesejahteraan hidup rakyat.

“Ini termasuk usaha untuk mengurangkan beban kenaikan kos sara hidup dengan meningkatkan kuasa beli dan menghapuskan jurang pendapatan antara kelas, kaum dan wilayah,” katanya.

Dalam menjayakan usaha itu, kata Perdana Menteri, kerjasama semua pihak amat diperlukan agar kenaikan harga barang dan kos sara hidup dapat ditangani secara holistik.

Sempena ulang tahun pertama pemerintahan Kerajaan PH Mei lalu, Dr Mahathir berkata kerajaan mengumumkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang bertujuan memastikan seluruh rakyat merasai nikmat ekonomi dan kemakmuran negara secara bersama dan lebih adil dan teragih.

“Kemakmuran Bersama ini dibangunkan untuk mencapai beberapa objektif utama, iaitu untuk memastikan jurang pendapatan dan kekayaan rakyat dapat ditangani,” katanya.

Perdana Menteri berkata, komitmen untuk meningkatkan kecekapan, ketelusan, tadbir urus dan integriti akan menjadi agenda penting berterusan kerajaan dalam memastikan kecekapan jentera pentadbiran yang pernah menjadi antara contoh kepada banyak negara sebelum ini terus berada di tahap tertinggi dalam menghadapi era globalisasi, cetusan maklumat serta Revolusi Industri 4.0.

Katanya, langkah-langkah bagi meningkatkan tadbir urus, integriti dan membasmi rasuah termasuk mengambil tindakan ke atas pihak-pihak yang terbabit dalam aktiviti rasuah dan salah guna kuasa akan terus dilaksanakan.

“Kerajaan Tuanku akan memastikan tiada sesiapa mengatasi undang-undang. Pada masa yang sama prinsip ketelusan sebagai mekanisme semak dan imbang kepada kerajaan akan terus dipertingkatkan.

“Semua usaha ini membuktikan Kerajaan Tuanku amat serius dalam menangani masalah-masalah yang selama ini telah menjejaskan kesejahteraan rakyat dan meruntuhkan imej Negara di persada antarabangsa,” katanya.

Dr Mahathir menegaskan perhatian akan sentiasa diberi untuk meningkatkan perpaduan rakyat dan bagi memperkukuhkan usaha tersebut, Majlis Perundingan Keharmonian Rakyat telah ditubuhkan yang akan bertindak sebagai badan bebas bagi menasihati kerajaan dalam isu-isu berkaitan perpaduan dan kesejahteraan sosial. – BERNAMA

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membacakan Surat Pengisytiharan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X