Selasa, 30 Julai 2019 | 11:45am
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah beramah mesra dengan rakyat.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah beramah mesra dengan rakyat.
Akaun twitter Tunku Azizah menggunakan nama @cheminahsayang.
Akaun twitter Tunku Azizah menggunakan nama @cheminahsayang.

@cheminahsayang medium interaksi dengan rakyat

RAJA Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang aktif di laman sosial menggunakan platform itu untuk berkongsi pelbagai aktiviti, pandangan dan mendekatkan diri dengan rakyat.

Tunku Azizah mengaktifkan laman Twitter yang menggunakan nama @cheminahsayang, sejak Mac lalu dan sehingga ini, mempunyai lebih 40,000 pengikut.

Hampir setiap hari baginda memuat naik statusnya di laman sosial dan mendapat tanda suka yang tinggi, selain warganet menciap semula, memperlihatkan tiada sempadan seorang bergelar Permaisuri Agong aktif di laman sosial.

Tunku Azizah turut memuatnaik perasaan teruja menunggu hari pertabalan baginda bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baginda juga memuat naik gambar lama dan mengimbau pertabalan Almarhum Paduka Sultan Iskandar Ismail dan bapa mentua, Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Mustain Billa, ketika kedua-dua menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Tunku Azizah menganggap Twitter mampu menjadi mata dan telinga masyarakat untuk mengadu sesuatu perkara.

“Twitter amat berguna kerana menyediakan pelbagai maklumat. Di Twitter umpamanya, saya dapat mengetahui sesuatu perkara yang berlaku di Pahang seperti banjir atau kebakaran.

“Orang terus tweet saya, membuat aduan mengenai berlaku sesuatu perkara seperti kebakaran atau banjir.

“Pada saya, ia menjadi tempat orang membuat aduan. Saya akan memanjangkan aduan itu kepada Tuanku,” titah baginda.

Sebelum ini, lebih 10 tahun Tunku Azizah tidak aktif di Twitter, tetapi kemudian mengaktifkan semula kerana rindu untuk tweet dan membaca berita dari seluruh dunia.

Baginda gemar membaca perkembangan berita terkini daripada pelbagai akhbar bahasa Inggeris di seluruh dunia dan menciap semula berita berkenaan.

“Saya suka baca Twitter, mengikuti sajak dan pantun Indonesia,” titah baginda.

Ditanya mengenai penggunaan perkataan cheminahsayang, baginda bertitah:

“Lebih 10 tahun Tuanku panggil saya cheminah, sebab tu guna cheminah. Tapi sekarang, tambah cheminah sayang.

“Tuanku suka tengok Youtube, manakala saya suka dengan gajet dan aktif di laman sosial. Tuanku tidak suka Instagram, tetapi jika ada sebarang komen saya akan beritahu pada Tuanku,” kata baginda.

Tunku Azizah mengakui ada juga dalam kalangan warganet yang ‘nakal’ memberikan komen negatif mengenai sesuatu perkara yang dimuat naik dalam laman sosialnya.

Bagaimanapun, baginda tidak pernah marah atau mengambil sebarang tindakan.

“Saya terima banyak mesej, ada yang cakap ini cakap itu, tetapi saya tak pernah balas. Ada ketikanya saya hanya ucap terima kasih.

“Jika orang komplen atau mengkritik, saya tidak ambil kisah dan tidak mengikut blog mereka.

“Macam-macam nama dia orang panggil saya. Mungkin kadang-kadang orang nampak, saya riak, saya sombong. Bagi saya ia juga bagus untuk saya baca, sekurang-kurangnya tahu mengenai sesuatu perkara yang tidak perlu kita lakukan.

“Anak-anak saya juga aktif dalam laman sosial, tetapi akaun mereka ‘private’,” sambil memberitahu Tuanku Al-Sultan Abdullah tidak membenarkan anak menggunakan telefon ketika di meja makan.

Berita Harian X