Isnin, 29 Julai 2019 | 10:00am

'Media bantu bina karakter saya'

KUALA LUMPUR: Ketika pegawai media Istana Negara memberi isyarat tempoh wawancara sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 hampir tamat, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, masih bersemangat melayan media.

“Ok, last three (tiga soalan terakhir). Bagilah mereka sikit (masa) lagi,” titah baginda memberi laluan lebih lama kepada media mengajukan soalan.

Maka hari itu, daripada tiga soalan terakhir dibenarkan, bertambah lagi 10 soalan lain apabila baginda sendiri bertanyakan kepada setiap seorang daripada tujuh wartawan yang menemubual baginda di Istana Negara.

“Anda (pengamal media) membina karakter saya. Terima kasih,” titah baginda membuatkan kami rasa cukup dihargai.

Terdahulu, sebelum memulakan wawancara, baginda yang tiba dengan menaiki buggy kelihatan tersenyum mesra dari jauh melihat pengamal media yang menunggu.

“Assalamualaikum. Dah lama tunggu,” sapa Al-Sultan Abdullah dengan senyuman di wajah membuatkan rasa gemuruh kami hilang.

“Kita boleh mulakan. Bagi soalan, saya akan jawab. Bagi lima soalan terus pun ok,” titah baginda membuka bicara.

Itulah skrip hampir sama diulangi baginda sebelum ini, setiap kali menghadiri sidang media ketika memimpin Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) atau majlis lain.

Bagi wartawan sukan yang kerap bertemu baginda itu biasa, tetapi situasi berbeza kerana Al-Sultan Abdullah kini Yang di-Pertuan Agong, bukan lagi Presiden FAM atau MHC.

“Sudah tentu saya sentiasa menjadi tumpuan masyarakat, termasuk media sejak dilantik Tengku Mahkota pada usia muda, iaitu 15 tahun. Pembabitan dalam sukan juga banyak membantu meraih kenangan manis dan pahit.

“Dari dulu, saya memang tidak begitu menonjol mencari media, namun disebabkan kedudukan, setiap pergerakan sentiasa menjadi tumpuan lensa kamera.

“Saya berterima kasih kepada media kerana banyak menampilkan apa yang saya lakukan,” titah baginda.

Berkongsi kisah silam, baginda menegaskan banyak fasa kehidupan ditempuh, termasuk era belajar di sekolah, menuntut di England sehinggalah ke fasa bertugas, termasuk sebagai Pemangku Sultan Pahang.

“Banyak pengalaman berbeza, setiap fasa ada episod tertentu dan cara tertentu. Kini fasa lain sebagai Agong, perwatakan mungkin lain sikit, percakapan lain sikit.

“Apabila boleh berkongsi pengalaman, saya akan lakukan secara formal kerana saya kini menjadi subjek tumpuan, nasihat, rujukan dan juga kritikan banyak pihak. Itu lumrah kedudukan yang saya pegang sekarang,” titah baginda.

Pastinya di akhir sesi wawancara, peluang selfie bersama Al-Sultan Abdullah tidak dilepaskan.

“Biar saya tolong. Kesian awak,” titah baginda secara spontan sebelum membantu merakam gambar kenangan menggunakan telefon pintar milik wartawan.

Al-Sultan Abdullah berbual dengan Ketua Penyunting BH, Nazarudin Abu Bakar (kiri) sambil diperhatikan Pengarang Kumpulan BH, Khaidir A Majid (dua dari kanan) dan pengarang media lain ketika sesi wawancara di Istana Negara, baru-baru ini. - NSTP/Aizuddin Saad
Berita Harian X