Sabtu, 27 Julai 2019 | 5:01pm

Jelajah Pahang kumpul resipi

PEKAN: Mula ke dapur sejak berusia enam tahun lagi, tidak hairanlah minat memasak begitu mendalam dan sebati dengan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Sebutlah apa juadah atau kuih-muih tradisional terkenal di setiap daerah di Pahang, pasti ia diketahui kerana baginda sendiri sanggup menjelajah ke serata ceruk negeri untuk mendapatkan resipi tradisional terbaik itu.

Semua resipi tradisional berkenaan dikumpul dan dimuatkan ke dalam dua buku resipi eksklusif ‘Cheminah Sayang’ iaitu Air Tangan Tengku Puan Pahang – Masakan Tradisional Pahang dan Air Tangan Tengku Puan PahangManisan Tradisional Pahang, yang diterbitkan sebanyak 10,000 naskhah setiap satu.

Hasil jualan buku disalurkan ke Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) yang ditubuhkan Tunku Azizah.

Teman rapat baginda, Datuk Hanizah Ghazali, menyifatkan Tunku Azizah bukan sekadar gemar memasak, malah sangat arif dalam pelbagai masakan istimewa dari setiap daerah di Pahang, meskipun berasal dari Johor.

“Tunku Azizah teliti dalam segala perkara termasuk penyediaan bahan untuk memasak. Soal sukatan dan pemilihan barangan, semuanya Tuanku sediakan.

“Sama seperti orang lain, Tunku Azizah tidak kisah memasak kalau ada orang di dapur, cuma jangan kacau kalau Tuanku sedang masak. Kalau kita masak sesuatu masakan dan ada bahan terkurang, Tuanku pasti tahu,” katanya yang juga Pengusaha Ichah Catering.

Ditanya mengenai kegemaran baginda, beliau berkata Tunku Azizah suka memasak patin tempoyak yang menjadi juadah kegemaran Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, namun Tunku Azizah tidak pernah menjamah ikan patin.

RAJA Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan memasak bersama penduduk kampung pada majlis pelepasan benih ikan di Lubuk Yu Eco Park, Kuala Sentul. - Foto Nazirul Roselan
RAJA Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan memasak bersama penduduk kampung pada majlis pelepasan benih ikan di Lubuk Yu Eco Park, Kuala Sentul. - Foto Nazirul Roselan

“Kuih-muih tradisional seperti Seri Muka dan Pulut Panggang memang menjadi kegemaran Tunku Azizah. Kalau memasak untuk anakanda, Tuanku akan mengikut selera apa yang mereka nak makan.

“Al-Sultan Abdullah paling gemar ayam percik dan masak tumis asam ikan tenggiri air tangan Tunku Azizah. Tuanku bukan cerewet, tetapi lebih kepada teliti, jadi kalau buat sesuatu perkara, sangat pentingkan kesempurnaan,” katanya.

Seorang yang ikhlas berkawan dan suka berterus-terang, Hanizah berkata, Tunku Azizah seorang yang ringan tulang dan tidak segan untuk turun memasak kepada mangsa banjir.

“Kalau tak suka, baginda akan cakap. Tunku Azizah seorang yang sangat prihatin kepada rakyat dan minta sendiri untuk memasak kepada mangsa banjir.

“Kalau memasak untuk makan tengah hari, Tuanku akan sampai di penempatan banjir sekitar jam 10 pagi. Begitu juga kalau memasak untuk makan malam, petang Tuanku sudah sampai untuk siapkan juadah kepada 400 mangsa,” katanya.

Beliau berkata, Tunku Azizah akan menentukan sendiri juadah ingin dimasak untuk mangsa dan akan melawat dua penempatan sehari.

Terkenal dengan manisan, puding raja yang menjadi hidangan wajib istana Pahang, Hanizah berkata, juadah itu adalah resipi turun-temurun keluarga mentuanya yang dikenali sejak 1978 ketika pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar.

“Ibu mentua saya dulu tukang masak Istana Saadah di Pekan. Mulanya, saya cuma menolong ibu mentua memasak dan apabila dia sudah tidak lagi mampu memasak, dia minta saya teruskan memasak untuk istana Pahang hinggalah sekarang,” katanya yang menggemari kek buah Tunku Azizah.

DATUK Hanizah Ghazali. - Foto Farizul Hafiz Awang
DATUK Hanizah Ghazali. - Foto Farizul Hafiz Awang

RAJA Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan meluangkan masa memasak juadah makan tengahari untuk diagihkan kepada mangsa banjir di SMK Pandan. - Foto Muhd Asyraf Sawal
RAJA Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan meluangkan masa memasak juadah makan tengahari untuk diagihkan kepada mangsa banjir di SMK Pandan. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X