Khamis, 25 Julai 2019 | 11:46pm
Kesemua 27 pendaki yang juga pengendali stesen minyak Petronas berjaya menawan puncak Gunung Fuji di Jepun, yang berketinggian 3,776 meter, pagi tadi. - Foto NSTP/Ihsan KE7B
Kesemua 27 pendaki yang juga pengendali stesen minyak Petronas berjaya menawan puncak Gunung Fuji di Jepun, yang berketinggian 3,776 meter, pagi tadi. - Foto NSTP/Ihsan KE7B

Pendaki KE7B-PETRONAS tawan puncak Fuji

KUALA LUMPUR: Kesemua 27 pendaki yang juga pengendali stesen minyak Petronas berjaya menawan puncak Gunung Fuji di Jepun, yang berketinggian 3,776 meter, pagi tadi.

Mereka yang menyertai ekspedisi Kelab Eksplorasi Tujuh Benua (KE7B) PETRONAS Fuji 2019 itu sampai di puncak gunung itu pada jam 10.30 pagi selepas memulakan pendakian pada jam 11.30 pagi semalam.

Pendakian yang mengambil masa dua hari itu disempurnakan tanpa mengalami masalah yang tidak diingini.

Ketua ekspedisi, Muhamad Zaini Abu Bakar, berkata walaupun suhu sejuk antara lima hingga lapan darjah Celsius, keadaan cuaca baik, tidak hujan dan pemandangan yang kurang berkabus memberikan bonus kepada peserta untuk mendaki ke puncak dengan jayanya.

Presiden KE7B, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, yang turut menyertai ekspedisi, pula berkata banyak perkara yang boleh dipelajari sepanjang pendakian ke puncak gunung itu untuk meningkatkan taraf pelancongan sukan pendakian dan rekreasi di Malaysia.

Katanya, ini penting bagi menarik minat pelancong dan pendaki luar negara yang mahu mendaki gunung-ganang di Malaysia, terutama Gunung Kinabalu, Sabah.

“Kesemua pendaki berjaya turun semula ke stesen lima pada jam 7 petang dan selamat tiba di tempat penginapan,” katanya..

Misi KE7B PETRONAS Fuji 2019 adalah satu ekspedisi anjuran pengendali stesen minyak PETRONAS bagi menyahut cabaran pendakian dan mempelbagaikan aktiviti pasukan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X