Rabu, 24 Julai 2019 | 7:04pm
MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo. - Foto BERNAMA

'Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih' tema Hari Kebangsaan, Hari Malaysia 2019

KUALA LUMPUR: Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini ialah ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ bagi menekankan kepentingan perpaduan serta semangat cintakan negara demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama.

Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Gobind Singh Deo, berkata kerajaan berharap tema itu boleh memupuk dan menyalakan nilai integriti serta jati diri rakyat Malaysia yang bersih dan tinggi.

Katanya, kerajaan juga membuat keputusan untuk mengekalkan logo rasmi sambutan tahun lalu dengan tambahan tema baharu berkenaan, manakala ‘Malaysia Bersih’ dipilih sebagai lagu utama sambutan kali ini.

Beliau turut mengumumkan Acara Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2019 akan diadakan di Putrajaya pada 31 Ogos, sementara sambutan Hari Malaysia 2019 pula di Kuching, Sarawak, pada 16 September.

“Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 akan diadakan pada 3 Ogos di Dataran Pahlawan, Melaka.

“Pemilihan Melaka sebagai lokasi pelancaran adalah berdasarkan faktor sejarah yang mana negeri itu menjadi tempat pengisytiharan kemerdekaan negara pada 20 Februari 1956 di Banda Hilir.

“Majlis ini akan disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari; Menteri Kabinet dan EXCO kerajaan negeri, akan turut hadir,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Gobind yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Bulan Kebangsaan 2019 berkata, logo rasmi terbabit memaparkan simbol rakyat dalam pergerakan riang mengangkat tangan dengan satu bentuk hati yang menyatukan mereka.

“Ia menggambarkan warganegara Malaysia berbilang bangsa dalam keharmonian, seia sekata, sehati dan sejiwa yang membarakan perasaan sayang kepada negara. Penggunaan warna Jalur Gemilang pula menggambarkan kepelbagaian dalam satu perasaan, ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’,” katanya.

Selain lagu utama sambutan, beliau berkata, lagu ‘Kita Punya Malaysia’ akan turut dinyanyi bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme dan meyemai amalan budaya integriti serta menolak rasuah dalam kehidupan rakyat.

“Bagi memeriahkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan, saya menyeru supaya seluruh rakyat menunjukkan cinta setia kepada negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, pejabat, premis perniagaan, kereta dan di mana-mana tempat bersesuaian dengan penuh bangga serta gembira bahawa Malaysia ini kita punya,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai acara sempena sambutan Bulan Kebangsaan akan diadakan, manakala segala persiapan untuk ketiga-tiga program utama sedang berjalan lancar.

“Kerajaan amat menggalakkan pelbagai inisiatif masyarakat bagi meraikan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia secara sukarela yang secara langsung memupuk semangat perpaduan,” katanya.

Berita Harian X