Rabu, 24 Julai 2019 | 4:21pm
TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Md Farid Md Rafik. NSTP/Khairull Azry Bidin.

Pelantikan Morgan Stanley, antara inisiatif pulihkan MAS

KUALA LUMPUR: Pelantikan Morgan Stanley, bank pelaburan dan syarikat perkhidmatan kewangan dunia adalah antara inisiatif kerajaan dalam mengkaji opsyen dan mencari mekanisme terbaik bagi memulihkan semula Malaysia Airlines Bhd (MAS).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, berkata kerajaan bersifat terbuka dalam mencari penyelesaian bagi memulihkan syarikat penerbangan nasional itu dengan mengambil kira pandangan semua pihak termasuk badan bebas.

“(Pelantikan itu) untuk melihat daripada pihak yang independent, bukan dari Khazanah bukan daripada kerajaan, tapi pihak yang berminat untuk mengemukakan cadangan, mengemukakan opsyen strategik untuk membantu memulihkan MAS,” katanya pada sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Fahariyah Md Nordin yang ingin tahu hala tuju dan pendekatan yang bakal diambil dalam menentukan pegangan Khazanah Nasional Bhd dan tujuan pelantikan entiti bank pelaburan itu.

Md Farid berkata kerajaan akan terus meneliti semua cadangan dan tawaran yang dikemukakan dengan mengambil kira aspek kewangan dan mekanisme pelaksanaan.

“Maklumat lanjut berkenaan tawaran-tawaran tersebut akan diumumkan pada masa sesuai kelak. Pada masa ini, tiada tarikh akhir ditetapkan bagi mengemukakan sebarang tawaran,” katanya .

Beliau turut menegaskan yang kerajaan memberi jaminan pekerjaan kepada 14,000 pekerja tempatan yang berkhidmat selain tidak akan berkompromi dengan jenama ‘Malaysia’ dalam usaha memulihkan syarikat penerbangan itu. - BERNAMA

Berita Harian X