Rabu, 24 Julai 2019 | 10:54am
PESERTA Ekspedisi KE7B PETRONAS Fuji 2019 di Stesen 5 Gunung Fuji sebelum memulakan pendakian pagi tadi.
PESERTA Ekspedisi KE7B PETRONAS Fuji 2019 di Stesen 5 Gunung Fuji sebelum memulakan pendakian pagi tadi.

27 pengendali stesen minyak PETRONAS sahut cabaran Gunung Fuji

KUALA LUMPUR: Seramai 27 pendaki yang juga pengendali stesen minyak PETRONAS di seluruh Malaysia memulakan cabaran mendaki ke Gunung Fuji, pagi ini.

Mereka bersedia menempuh cabaran menawan puncak gunung dengan ketinggian 3,776 meter itu selepas menjalani latihan rapi selama tiga bulan menerusi pemantauan Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia KE7B.

Ekspedisi KE7B PETRONAS Fuji 2019 yang diketuai oleh Muhamad Zaini Abu Bakar dan Zahan Azwan Arifin itu bertujuan membawa bendera PETRONAS dan Malaysia ke puncak Fuji sebagai simbolik atas semangat setiakawan dalam perancangan berpasukan untuk mencipta kejayaan buat diri dan Malaysia.

Muhamad Zaini berkata, cabaran mendaki mungkin tidak sesukar mana bagi sesetengah pendaki tetapi apa yang mahu mereka tunjukkan ialah kekuatan mental dan fizikal merealisasikan impian mampu mengatasi rintangan.

Zahan pula menyifatkan ekspedisi itu adalah sesuatu yang baik kerana ia dapat merapatkan hubungan sesama pengendali stesen minyak di bawah PETRONAS, sebuah syarikat terbesar negara.

“Pelbagai aktiviti yang disertai pengendali stesen PETRONAS memberi kami peluang untuk menyumbang kejayaan kepada Malaysia dan PETRONAS.

“Walaupun ekspedisi ini tidaklah sebesar mana, ia sedikit sebanyak memberi impak yang positif buat kami warga PETRONAS agar terus berfikiran positif dalam melakar kejayaan, menjaga kesihatan dan memberi suntikan motivasi agar terus maju,” katanya.

Ekspedisi itu turut disertai oleh Pendaki Tujuh Benua dan Penjelajah Grand Slam pertama Malaysia, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin yang juga Presiden KE7B; Pendaki Felda Everest 2013, Mohamad Nasuha Samsudin bersama Alif Abdullah sebagai koordinator dan jurulatih.

Qobin berkata, beliau yakin dengan semangat dan latihan yang jitu, pendaki daripada pelbagai latar belakang dan usia akan berjaya menawan puncak Fuji esok.

“Ini adalah permulaan untuk mereka menjadi pengembara yang lebih berjaya pada masa akan datang dan menjadikan aktiviti rekreasi ini sebagai rutin kehidupan mereka semua,” katanya.

Pendaki dijangka tiba di puncak Fuji pada pagi esok dan cuaca dijangka baik sepanjang pendakian.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X