Selasa, 23 Julai 2019 | 8:34pm
MENTERI Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin merasmikan Sistem Panel Solar Photovoltaic (PV) Bumbung Kilang Good Year di Shah Alam, hari ini. - Foto BERNAMA
MENTERI Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin merasmikan Sistem Panel Solar Photovoltaic (PV) Bumbung Kilang Good Year di Shah Alam, hari ini. - Foto BERNAMA

Malaysia ketiga dunia hab tenaga solar

SHAH ALAM: Malaysia berada di kedudukan ketiga dunia sebagai hab tenaga solar dan teknologi hijau, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Beliau berkata, industri solar mewujudkan 54,300 peluang pekerjaan dalam tempoh antara 2011 sehingga 2019, sekali gus menjadikan tenaga alternatif itu antara sumber ekonomi negara.

“Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) memperkenalkan dasar baharu seperti program Pemeteran Tenaga Bersih Baharu (NEM). Adalah menjadi komitmen kerajaan untuk membangunkan industri solar.

“Malah kebanyakan syarikat tenaga sudah mula mengembangkan rancangan mereka atau meneruskan strategi sedia ada untuk menghasilkan lebih banyak tenaga boleh diperbaharui bagi mengurangkan bil elektrik dan pelepasan karbon dioksida dalam bangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sistem Panel Solar Photovoltaic (PV) Bumbung Kilang Good Year di sini, hari ini.

Bee Yin berkata, Malaysia mempunyai potensi besar dalam menjana tenaga solar menerusi sistem PV di atas bumbung.

Beliau berkata, terdapat 3.2 juta hartanah bertanah, 450,000 rumah kedai, 90,000 kilang teres, 21,000 kilang persendirian dan 1,000 kompleks perniagaan di Malaysia.

Katanya, kerajaan menyasarkan bangunan komersial dan perindustrian untuk menjadikan tenaga solar sebagai sumber bekalan tenaga elektrik serta menjadi pelopor bagi skim NEM.

“Skim NEM menawarkan tarif lebih rendah, insentif cukai, program pajakan solar dan bil elektrik rendah kepada mereka yang memilih untuk menggunakan tenaga solar,” katanya.

Berita Harian X