Isnin, 22 Julai 2019 | 5:49pm
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diiringi Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi (kanan) ketika melancarkan logo kempen Visit Truly Asia Malaysia 2020 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diiringi Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi (kanan) ketika melancarkan logo kempen Visit Truly Asia Malaysia 2020 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini. - Foto BERNAMA

Tun M lancar logo Kempen TMM 2020

SEPANG: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melancarkan logo kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Pelancaran logo yang menampilkan ikon Malaysia seperti burung kenyalang, bunga raya, paku pakis liar dan warna bendera Malaysia, adalah usaha pemasaran dan promosi kempen.

Logo ciptaan pereka grafik, Alfred Phua Hong Fook itu mengenepikan beratus penyertaan dari seluruh negara sepanjang tempoh pertandingan yang berlangsung pada awal tahun ini.

Pelancaran terbabit turut disaksikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Dr Mahathir dalam ucapan perasmiannya berkata, beliau berharap kempen ini berjaya mencapai sasaran ketibaan 30 juta pelancong antarabangsa dengan pendapatan pelancongan RM100 bilion.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu menjangkau sasaran lebih tinggi untuk mempromosikan Malaysia di negara lain termasuk rantau ASEAN, China, India, United Kingdom dan Jerman.

“Kerajaan akan terus menyokong usaha membangunkan industri pelancongan dan meningkatkan kedudukan di peringkat antarabangsa.

“Tahun lalu, Malaysia berada di kedudukan 21 antara negara yang mempunyai pendapatan pelancongan yang tinggi, dengan memperoleh RM84.1 bilion seperti diumumkan Organisasi Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) yang disiarkan dalam Laporan Barometer pada Mei lalu,” katanya.

Dalam majlis itu, Dr Mahathir turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) promosi bersama antara Tourism Malaysia dengan Malaysia Airlines (MAS), AirAsia, Firefly, Malindo Air, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Sharp (M) Electronic Sdn Bhd.

Selepas itu, Dr Mahathir melancarkan logo khas pada pesawat membabitkan empat syarikat penerbangan utama negara di Kompleks Bunga Raya.

Berita Harian X