Jumaat, 19 Julai 2019 | 12:19pm
Kemudahan air bersih telaga tiub bakal menyelesaikan masalah itu dalam masa terdekat cukup untuk kegunaan 185 penduduk Orang Asli di Kampung Kuala Koh, Gua Musang. - Foto Ramli Ibrahim

Orang Asli harap sumber air hujan

GUA MUSANG: Penduduk Orang Asli suku Batek, Kuala Koh, di sini terpaksa mengharapkan tadahan air dari hujan buat sementara waktu sebagai keperluan kerana dianggap lebih selamat daripada jangkitan penyakit.

Ini berikutan mereka sudah serik menggunakan sumber air terutama tadahan bukit dan sungai yang didakwa kotor sehingga menyebabkan penduduk diserang wabak demam campak.

Penduduk itu, Rosnah Kepayang, 68, berkata kebanyakan penduduk akan menadah air setiap kali hujan bagi membasuh pakaian dan mencuci pinggan mangkuk setiap hari.

Katanya, bagi keperluan memasak dan minum, mereka akan mengguna air bersih yang dibekalkan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dalam dua tangki besar.

“Sejak diketahui dijangkiti penyakit, kami terus menghentikan dari mengguna air tidak bersih itu dari tadahan bukit dan sungai sebagai keperluan harian.


Wanita Orang Asli Kampung Kuala Koh, Rosnah Kepayang, 68 mencuci pinggan mangkuk menggunakan tadahan air hujan kerana bimbang menggunakan air sungai dan tadahan air bukit yang kotor. - Foto Ramli Ibrahim

“Susulan itu, sehingga kini kami merasakan selamat daripada jangkitan penyakit demam campak dan akan lebih berhati-hati menjaga kebersihan terutama penggunaan air bersih,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, di sini, hari ini.

Sejak awal Mei lalu, seramai 15 Orang Asli suku Batek Kuala Koh meninggal dunia kerana jangkitan demam campak manakala 112 lagi menerima rawatan di hospital berhampiran.

Sehingga kini, terdapat seramai 163 kaum itu yang keluar daripada Hospital Gua Musang (HGM) dan Hospital Kuala Krai (HKK) dikuarantin di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Etnobotani sebelum dibenarkan pulang ke rumah tidak lama lagi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pelaksanaan Operasi, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Zakaria Shaaban, berkata penduduk kaum itu di Kampung Kuala Koh bakal menikmati kemudahan air bersih terawat dalam masa terdekat ini.

Katanya, air bersih dari telaga tiub untuk kemudahan mereka sudah siap dibina, namun kini masih di peringkat ujian kualiti air sebelum dibenarkan menggunanya.

“Kemudahan air bersih itu cukup untuk kegunaan 185 penduduk Orang Asli kampung setiap hari dan diharap selepas ini, mereka tidak lagi berdepan dengan masalah itu.

“Kerajaan mengambil perhatian serius dan tindakan segera bagi meningkatkan taraf hidup kaum terbabit bagi mengelakkan tragedi dijangkiti demam campak berulang,” katanya.

Berita Harian X