Khamis, 18 Julai 2019 | 3:50pm
KETUA Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (kanan) dalam sidang media pada Persidangan Pembinaan Antarabangsa Pulau Pinang (PICC) 2019 di The Top Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR). - Foto Danial Saad
KETUA Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (kanan) dalam sidang media pada Persidangan Pembinaan Antarabangsa Pulau Pinang (PICC) 2019 di The Top Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR). - Foto Danial Saad

Dakwaan nelayan tidak adil - Kon Yeow

GEORGETOWN: Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata dakwaan Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PEN Mutiara) bahawa beliau tidak memberi gambaran tepat mengenai hasil mesyuarat tertutup bersama persatuan itu berkaitan projek tambakan laut, adalah tidak adil.

Beliau berkata, pihaknya tidak pernah menyatakan PEN Mutiara menyokong projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR) dalam mana-mana sidang media sebelum ini.

Sebaliknya, Kon Yeow berkata, sidang media beliau sebelum ini jelas menyatakan pendirian nelayan membantah PSR, tetapi PEN Mutiara sudah mengemukakan Pelan Transformasi Nelayan sebagai persediaan jika projek itu tetap diteruskan

“Saya jelas menyatakan kerajaan negeri menghormati pendirian nelayan tidak menyokong PSR, selain tiada apa-apa pertikaian mengenai sebarang maklum balas diberikan kedua-dua pihak (nelayan atau kerajaan negeri).

“Selain itu, saya sering mengulangi bahawa PSR hanya akan dijalankan sekiranya mendapat kelulusan. Ia tidak akan dilaksana sekiranya gagal mendapatkan kelulusan berkaitan daripada pihak berkenaan.

“Seterusnya, saya jelaskan PEN Mutiara sudah siap sedia dengan tuntutan jika projek ini tetap diteruskan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Semalam, PEN Mutiara mendakwa Kon Yeow tidak memberi gambaran tepat berhubung pendirian nelayan mengenai PSR, selain hanya menjelaskan permintaan kumpulan itu bagi rancangan transformasi.

Ia susulan kenyataan Ketua Menteri pada Jumaat lalu yang menjelaskan kerajaan negeri ada menerima tuntutan daripada PEN Mutiara sebagai pampasan kepada nelayan jika PSR diteruskan dalam pertemuan tertutup bersama golongan itu pada 30 Mei.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, tiada keperluan untuk mengundang PEN Mutiara pada sesi taklimat khas mengenai PSR yang akan diberikan kepada Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya tak nampak kenapa mereka perlu hadir dalam apa-apa taklimat yang akan kami anjurkan pada masa akan datang sebab kita ada kumpulan sasar (untuk hadir),” katanya.

Beliau memberi contoh, Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) akan dijemput membincangkan isu keselamatan dan inovasi untuk mengurangkannya.

“Kumpulan sasar akan libatkan isu tertentu dan dengan tersendiri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan mengumumkan 30 syarat khusus bagi kelulusan skim pengangkutan Transit Aliran Ringan (LRT) jajaran KOMTAR ke Bayan Lepas selepas menerimanya daripada Kementerian Pengangkutan.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga menyasarkan untuk memulakan proses pemeriksaan awam bagi projek itu pada pertengahan Ogos depan yang akan berlangsung selama tiga bulan.

Sesi itu, katanya, akan diadakan di tiga lokasi, iaitu KOMTAR, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) serta pejabat Agensi Pengangkutan Awam Darat negeri dan Putrajaya.

Selain itu, katanya, sesi terbabit juga menerusi enam kios mudah alih yang akan ditempatkan di lokasi tumpuan ramai, khususnya di sepanjang jajaran LRT.

“Orang ramai yang akan terkena impak projek ini boleh memberi pandangan. Tarikh, tempat dan waktu pemeriksaan awam ini akan diumumkan dalam media cetak tidak lama lagi,” katanya.

Berita Harian X