Rabu, 17 Julai 2019 | 5:46pm
Bekas Pengarah Urusan Ambank, Cheah Taek Kuang hadir prosiding perbicaraan di mahkamah Kuala Lumpur. - NSTP/Aswadi Alias
Bekas Pengarah Urusan Ambank, Cheah Taek Kuang hadir prosiding perbicaraan di mahkamah Kuala Lumpur. - NSTP/Aswadi Alias

Jho Low bawa pegawai Ambank jumpa Najib hendak buka akaun

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan yang menjadi buruan pihak berkuasa, Low Taek Jho atau Jho Low, memperkenalkan dan membawa pengarah Ambank bertemu Datuk Seri Najib Razak bagi proses membuka akaun bank bekas perdana menteri itu pada 2011.

Jho Low turut meminta pegawai bank yang memproses pembukaan akaun itu untuk menggunakan kod nama ‘AmPrivate Banking - MR’ bagi akaun semasa Najib dengan alasan ia perlu diuruskan dengan penuh kerahsiaan.

Pengarah Urusan Kumpulan Ambank ketika itu, Cheah Tek Kuang, yang menceritakan pertemuan dengan Najib pada pertengahan Januari 2011 di kediaman tertuduh di Nombor 11, Jalan Langgak Duta di sini, berkata beliau dibawa dengan menaiki kereta pada jam 7 malam bagi membincangkan pembukaan akaun itu.

Tek Kuang yang membacakan pernyataan saksi, berkata beliau sebelum itu disediakan dengan salinan Borang Pembukaan akaun bank dan kad kredit oleh bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu yang kosong dan tidak diisi oleh pelanggan seperti disyaratkan bank.

“Apabila saya tiba di rumah Najib, saya bertemu Low Taek Jho yang juga dikenali sebagai Jho Low yang saya pernah jumpa sebelum ini.

“Jho Low membawa saya ke dalam kediaman itu dan memperkenalkan saya kepada Najib. Beliau turut beritahu saya dari Ambank. Najib kemudian menuju ke bilik tetamu, manakala Jho Low menunggu di ruang lain kediaman itu.

“Saya menjelaskan kepada Najib, prosedur pembukaan akaun Ambank dan mesti mematuhi syarat dan peraturan bank dan saya perlu beritahu Bank Pusat kerana Najib adalah seorang yang politically exposed (seorang yang diamanahkan dengan tanggungjawab awam dan berisiko terbabit dengan rasuah),” katanya.

Saksi ke-50 pendakwaan itu berkata, Najib kemudian menandatangani borang pembukaan akaun dan kad kredit yang dibawanya.

Pertemuan berkenaan berlangsung 20 minit dan beliau dihantar pulang selepas semua proses selesai.

Katanya, beliau memberikan semua borang ditandatangani itu kepada Joanna untuk menyempurnakan proses pembukaan akaun dan kad kredit.

“Saya kemudian mengadakan temu janji dengan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yang ketika itu Gabenor Bank Negara dan menemuinya beberapa hari kemudian di pejabat beliau.

“Saya memberitahunya mengenai pembukaan akaun itu. Zeti berkata, beliau tidak membantah Ambank untuk membuka akaun berkenaan, tetapi mesti mengikut peraturan perbankan negara,” katanya.

Berhubung proses pembukaan akaun itu, saksi berkata beliau tidak pasti siapa yang memutuskan nama kod untuk akaun bank berkenaan.

“Apa yang saya tahu, ada perbincangan untuk menggunakan kod nama bagi perlindungan maklumat dan mengekalkan sensitiviti. Saya juga memaklumkan kepada Gabenor Bank Negara berhubung perkara itu.

“Joanna beritahu saya, alasan kod nama ‘AmPrivate Banking - MR’ bagi akaun semasa Najib adalah berdasarkan permintaan Jho Low yang meminta ia diuruskan dengan kerahsiaan ketat,” katanya.

Terdahulu, Tek Kuang berkata, ketika bertugas di Ibu Pejabat Ambank di Jalan Raja Chulan di sini, pada awal Januari 2011, beliau didatangi Joanna yang memberitahunya, Najib berminat untuk membuka akaun simpanan dan semasa.

“Saya kemudian berjumpa Pengerusi Ambank, Tan Sri Azman Hashim di pejabatnya untuk membincangkan hasrat Najib dan Tan Sri mengarahkan saya menguruskan perkara itu.

“Selepas itu, saya menghubungi Setiausaha Sulit Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias untuk menguruskan pertemuan dengan Najib. Saya kenal Azlin sejak 2009 dan dia juga adalah Pegawai Khas kepada Najib,” katanya.

Sementara itu, Tek Kuang berkata Ambank terbabit dengan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2009 apabila syarikat itu menjadi pelanggan korporat.

Katanya, beliau mula menguruskan akaun peribadi Najib pada akhir 2010.

Saksi itu yang juga Ahli Panel Pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), berkata beliau tidak menghadiri Mesyuarat Panel Pelaburan KWAP yang membincangkan dan menimbangkan Kertas Pelaburan berhubung pinjaman tambahan RM2 bilion oleh SRC International Sdn Bhd pada 2012.

Katanya, beliau hanya diberitahu KWAP meluluskan pinjaman tambahan itu kerana ia turut dijamin kerajaan.

“Pengalaman saya sebagai Ahli Panel Pelaburan KWAP, dua pinjaman yang diberikan kepada SRC yang semuanya berjumlah RM4 bilion adalah pinjaman terbesar pernah dipersetujui dan diluluskan KWAP,” katanya.

Ketika menjawab soalan peguam Harvinderjit Singh, saksi itu berkata Najib mahu membuka akaun itu bagi menerima derma dari Arab Saudi.

Ditanya berapa jumlah derma itu, Tek Kuang menjawab, “Mungkin AS$100 juta atau AS$200 juta”.

Beliau turut memberitahu Najib untuk melaporkan perkara itu kepada Bank Negara.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Berita Harian X