Isnin, 15 Julai 2019 | 3:52pm
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. - NSTP/Rosela Ismail
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. - NSTP/Rosela Ismail

Tiada arahan rampas RM1 bilion - Guan Eng

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan tidak mengeluarkan arahan berhubung rampasan lebih RM1 bilion daripada akaun bank tempatan milik syarikat China, China Petroleum Pipeline Engineering Ltd (CPP).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata maklumat mengenai perkara itu perlu diajukan kepada agensi penguatkuasaan berkaitan.

“Kementerian Kewangan dan saya tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan mengenai rampasan.

“Jika ada sebarang arahan, anda perlu tanya kepada agensi penguatkuasaan berkaitan,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen, hari ini.

Akhbar Singapura, The Straits Times, kelmarin melaporkan, pihak berkuasa Malaysia merampas lebih RM1 bilion milik CPP.

Laporan itu menyebut, kerajaan Malaysia mengarahkan bank HSBC memindahkan wang dalam akaun CPP di Malaysia kepada syarikat Suria Strategic Resources Sdn Bhd yang dimiliki sepenuhnya Kementerian Kewangan.

Berdasarkan laporan Reuters, CPP dianugerahkan kontrak daripada kerajaan terdahulu pada tahun 2016 bagi membina saluran paip petroleum sepanjang 600 kilometer (km) di sepanjang pantai barat Semenanjung dan saluran paip gas sepanjang 662 km di Sabah.

Bagaimanapun, projek itu digantung pada Julai lalu oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Berita Harian X