Isnin, 15 Julai 2019 | 12:43pm
MOHAMADDIN Ketapi (dua, kanan) menyampaikan Anugerah Tokoh Pemuziuman Negeri Sabah kepada Datuk Joseph Guntavid (dua, kiri) pada majlis perasmian Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan kali ke-XXIII 2019 di Muzium Sabah. - Foto BERNAMA
MOHAMADDIN Ketapi (dua, kanan) menyampaikan Anugerah Tokoh Pemuziuman Negeri Sabah kepada Datuk Joseph Guntavid (dua, kiri) pada majlis perasmian Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan kali ke-XXIII 2019 di Muzium Sabah. - Foto BERNAMA

Syor wartakan lokasi aktiviti menyelam

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mengesyorkan kawasan yang dikenal pasti untuk aktiviti menyelam di negara ini perlu diwartakan bagi memastikan keselamatan penyelam.

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata dengan pewartaan itu, ia hanya membenarkan kumpulan penyelam untuk melakukan aktiviti mereka di kawasan berkenaan.

“Menerusi pewartaan itu, orang lain tidak dibenarkan berada di lokasi terbabit, sebaliknya hanya penyelam sahaja. Masalah berlaku apabila nelayan tidak tahu ada penyelam di bawah (menyelam) dan mereka melihat ada banyak ikan di kawasan itu, maka mereka akan lempar bom di lokasi berkenaan.

“Justeru, masalah ini perlu ditangani dengan mewartakan lokasi menyelam dan menerusi pewartaan ini, ada pihak yang akan menjaga tempat berkenaan dan penyelam boleh melakukan aktiviti mereka dengan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Muzium Antarabangsa peringkat Kebangsaan di Kompleks Muzium Sabah, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christine Liew dan Pembantu Menteri, Assaffal P Alian; Setiausaha Tetap Kementerian, William Baya; Ketua Pengarah Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A Kasim dan Pengarah Muzium Sabah, Arif Abd Hamid.

Dalam kejadian antara jam 2.30 petang hingga 3.30 petang pada 5 Julai lalu, pengajar selam skuba, Zainal Abdul, 31, bersama dua lagi pelancong China, Zhao Zheng dan Xu Yingjie ditemui maut ketika melakukan aktiviti menyelam di Pulau Kulapuan, Semporna, disyaki akibat terkena bom ikan.

Mengulas lanjut jika aktiviti pengeboman ikan berterusan, Mohamaddin berkata jika kejadian seperti itu berterusan ia sudah pasti akan menjejaskan industri pelancongan termasuk di Sabah.

“Jika kejadian ini (bom ikan) berterusan, ia memang menjejaskan (industri pelancongan) dan sepatutnya semua pihak bekerjasama dalam menangani isu ini,” katanya sambil menambah isu pengeboman ikan di Sabah bukan di bawah kementeriannya sebaliknya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan negeri,” katanya.

Mohamaddin turut menyuarakan cadangan pewartaan lokasi menyelam di Sabah dalam kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, di Istana Negeri, selepas majlis berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Mohamaddin berkata harga tiket masuk ke muzium di negara ini perlu dilihat semula susulan harganya yang masih rendah berbanding negara luar.

“Jika dibandingkan dengan muzium di negara luar, bayaran masuk ke muzium di negara ini terlalu rendah yang mana saya difahamkan hanya dalam RM5 sahaja berbanding di negara luar.

“Justeru, saya berasakan ia (bayaran masuk) perlu dinaikkan sedikit seperti RM10 dan anggap ia sebagai sumbangan untuk memajukan lagi muzium pada masa hadapan di negara ini,” katanya sambil menambah jumlah pengunjung ke muzium terus meningkat dengan tahun lalu, jumlah pengunjung ke muzium Persekutuan yang direkodkan adalah 2.35 juta orang.

Berita Harian X