Ahad, 14 Julai 2019 | 3:31pm
Salahuddin memberi makanan ternakan ikan keli di Kolam Ikan Bakut View Putatan ketika melakukan lawatan di tempat berkenaan, hari ini. - Foto BERNAMA
Salahuddin memberi makanan ternakan ikan keli di Kolam Ikan Bakut View Putatan ketika melakukan lawatan di tempat berkenaan, hari ini. - Foto BERNAMA

Kementerian tegas larang pengeboman ikan

PUTATAN: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melarang sebarang kegiatan pengeboman ikan dilakukan di perairan negara ini.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub, berkata pendirian tegas itu jelas bagi menjaga khazanah laut negara.

Justeru, beliau berkata, usaha menangani kaedah menangkap ikan yang diharamkan itu diserahkan kepada pasukan keselamatan.

“Isu pengeboman ikan ini kita serahkan kepada pasukan keselamatan. Kita tidak mengizinkan pengeboman ikan sama ada oleh pendatang asing tanpa izin atau mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Projek Ternakan Ikan Laut dan Udang Kara PCB Biotech Sdn Bhd dengan kerjasama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Putatan, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Uda Sulai; Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Azulita Salim; dan Pengerusi PCB Biotech Sdn Bhd, Datuk Arsit Sedi.

Awal bulan ini, tiga penyelam termasuk dua warga China, maut dipercayai akibat letupan bom ikan ketika menyelam di perairan berhampiran Pulau Kulapuan, Semporna.

Sementara itu, Salahuddin berkata, kedudukan 279 PPK di seluruh negara semakin pulih selepas lebih separuh daripadanya selesai mengadakan mesyuarat agung masing-masing.

“Dengan perkembangan ini, saya sangat positif dan yakin PPK keseluruhannya akan dipimpin oleh kepemimpinan baharu.

“Saya tidak kira siapa mereka. Namun, saya akan memastikan mereka profesional, berminat dan dapat memajukan PPK,” katanya.

Ketika ini, beliau berkata, ada kira-kira 980,000 ahli Pertubuhan Peladang di seluruh negara dengan 60,000 daripadanya di Sabah.

Berita Harian X