Jumaat, 12 Julai 2019 | 6:06pm

Gesekan biola Dr Siti Hasmah mempersonakan tetamu

CYBERJAYA: Gesekan biola Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang membuat penampilan istimewa pada Majlis Minum Petang Amal Yayasan Universiti Multimedia (YUM) hari ini mempersonakan lebih 450 tetamu.

Isteri Perdana Menteri yang menyambut hari lahir ke-93 hari ini, mempersembahkan tiga lagu iaitu Gubahanku, The Things You Are To Me, Secret Garden dan Terkenang-kenang diiringi Kombo Seni Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Majlis Minum Petang Amal itu bertujuan mengumpul dana kebajikan untuk manfaat pelajar kurang berkemampuan dan penyelidik Universiti Multimedia (MMU).

Pada akhir majlis ini, Dr Siti Hasmah diberi kejutan sempena hari kelahirannya.

Beliau yang kelihatan sebak ketika lagu Happy Birthday dinyanyikan hadirin dalam dewan itu, dan dalam ucapan ringkasnya amat berterima kasih serta terharu dengan kejutan itu.

Katanya, sebagai bekas Canselor universiti itu beliau sangat berbangga dengan pencapaian pelajar dan institusi berkenaan.

“Apabila saya ke luar negara, ada saja yang akan menyapa dan memperkenalkan diri dari MMU, saya sangat bangga apabila dengar itu. Walau di mana saja anda berada, moga anda semua dirahmati,” katanya.

Dr Siti Hasmah menaruh harapan kepada semua warga MMU dan alumni universiti berkenaan untuk meneruskan tugas mereka dengan sebaik-baiknya.

“Teruskan tugas anda semua, jangan bersara kerana umur persaraan hanyalah pada 95 tahun,” katanya dalam nada berseloroh.

Dr Siti Hasmah yang juga bekas Canselor MMU turut melancarkan Tabung Dana Wakaf Ilmu YUM sebagai platform untuk menjana lebih banyak dana dan sumbangan daripada individu dan organisasi korporat.

Menerusi tabung berkenaan, orang ramai dan organisasi korporat dapat memberi sumbangan yang akan memanfaatkan pelajar yang memerlukan dan penyelidikan di MMU.

Sementara itu, Presiden MMU, Prof Datuk Ts Dr Ahmad Rafi Mohamed Eshaq berkata sebagai institusi teknologi digital, MMU adalah sumber modal insan dalam bidang teknologi maklumat dan teknologi.

Katanya, beliau sangat berbangga YUM berjaya menyediakan bantuan kewangan dan sumbangan kepada pelajar yang memerlukan yang mana setakat ini, kira-kira 4,000 pelajar yang datang dari kumpulan B40 berjaya dibantu.

ISTERI Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali mengesek biola sempena majlis Minum Petang Amal Yayasan Universiti Multimedia (YUM) di Cyberjaya. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
ISTERI Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali mengesek biola sempena majlis Minum Petang Amal Yayasan Universiti Multimedia (YUM) di Cyberjaya. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Berita Harian X